Mak Intan menidurkan seekor anjing yang sakit |
Halijah yang mesra dipanggil Mak Intan berkata, dia terpaksa melakukan ibadah puasa sendirian tanpa suami tercinta di rumah perlindungan haiwan Pak Mie Shelter.
"Dulu Mak Intan dapat berbuka puasa dengan Pak Mie, namun kini arwah dah tak ada.
"Mujur ada 'anak-anak' sebagai peneman melepaskan kerinduan dan kesunyian memandangkan Mak Intan tidur di kabin berdekatan rumah perlindungan haiwan itu," katanya.
Walaupun Hari Raya Aidilfitri bakal menjelma beberapa hari lagi, namun bagi Mak Intan, sambutan berkenaan seolah-olah tiada maknanya apabila perlu meraikannya sendirian.
Malah, Mak Intan berkata, dia langsung tidak membuat persiapan raya termasuklah membeli baju baharu kerana masih bersedih atas kehilangan suaminya.
"Mak Intan tidak akan melepaskan peluang menziarahi pusara arwah suaminya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Bukhary selepas solat sunat Aidilfitri nanti.
"Selepas itu Mak Intan akan pulang ke rumah perlindungan haiwan semula menemui dan melihat haiwan terbiar yang sudah dianggap seperti anak-anak. Sesiapa yang berhasrat untuk berjumpa Mak Intan, boleh datang ke Pak Mie Shelter," katanya.
Katanya, dia berharap masyarakat dapat terus memberi sokongan dalam mempertahankan Pak Mie Shelter.
"Mak Intan akan menjaga amanat arwah suami dengan mempertahankan Pak Mie Shelter sampai bila-bila demi memastikan nasib haiwan terbiar terbela.
"Sewaktu Pak Mie ada, Mak Intan beri tumpuan pada kerja dalaman seperti menjaga haiwan sakit, manakala arwah melakukan tugasan luar seperti membeli makanan," katanya.
Namun kini katanya, dia perlu melakukan semua kerja tanpa insan tercinta yang berkongsi impian dan minatnya dalam melindungi haiwan terbiar.
Mujurnya katanya, dia dapat meneruskan usaha menjaga lebih 500 haiwan terbiar termasuklah anjing dan kucing dibantu anaknya, Alif Affendy, 30, bersama dua pembantu mereka.
Kisah pasangan Muslim, Pak Mie dan Mak Intan yang menyelamatkan haiwan terbiar terutamanya anjing dan kucing pernah mendapat perhatian seluruh negara .
Bagaimanapun, negara dikejutkan dengan kehilangan arwah Pak Mie Mac lalu selepas beberapa hari dirawat di hospital akibat penyakit strok.
Sumber: Sinar Harian