Pakatan Baru Dalam Proses Dibentuk, PAS Tidak Terlibat - DAP


KUALA LUMPUR – Cadangan penubuhan pakatan pembangkang baharu tanpa PAS masih dalam perbincangan, kata Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Beliau berkata perbincangan masih dijalankan antara Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Gerakan Harapan Baru (GHB) bagi mewujudkan sebuah pakatan pembangkang yang baru setelah PAS menamatkan hubungannya dengan DAP.

“Terdapat perbincangan yang sedang berjalan. Dengan berakhirnya Pakatan Rakyat, diperlukan kenderaan baru di mana harapan dan aspirasi rakyat dalam pilihan raya umum boleh diteruskan.

“Oleh itu kami telah berbincang mengenai kenderaan baru itu sama ada ia akan berupa pakatan baru, pakatan rakyat 2.0 atau harapan rakyat. Ia sedang dalam proses dibentuk,” katanya kepada pemberita di Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen di sini, semalam.

Kit Siang berkata PAS tidak akan terlibat dalam pakatan baharu yang bakal diwujudkan kerana beliau mendakwa PAS merupakan punca utama "kematian" Pakatan Rakyat. – BERNAMA