Palanivel Tidak Patah Semangat, Ikrar Terus Setia Berkhidmat

Datuk Seri G. Palanivel yang digugurkan daripada barisan kabinet yang baharu dalam rombakan Kabinet hari ini berkata beliau akan terus berkhidmat untuk masyarakat India dan negara.

Bekas presiden MIC itu juga menggesa pemimpin dan anggota MIC serta masyarakat India untuk bertenang dan akan bertemu "pemimpin dan orang relevan dalam beberapa hari akan datang untuk memutuskan langkah seterusnya akan diambil dalam parti".

"Saya sedar hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan pengguguran saya sebagai menteri kabinet.

"Saya memberi jaminan bahawa saya akan meneruskan perjuangan saya bagi keadilan untuk MIC dan masyarakat India walau selama mana pun dan selagi penyokong saya mahukan saya. Saya telah mengabdikan hidup saya untuk berjuang bagi masyarakat India dalam politik," katanya dalam kenyataan di sini Selasa malam.

Dalam rombakan kabinet diumumkan Najib hari ini menyaksikan Palanivel digugurkan sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dan portfolio itu diambil alih oleh Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dari Sarawak.

Dengan pengguguran Palanivel, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam merupakan satu-satunya menteri penuh daripada MIC dalam kabinet.

Sementara itu, Palanivel dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang malam ini dari Jakarta, Indonesia.

Beliau mengetuai delegasi Malaysia menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Peringkat Menteri SubRantau (MSC) yang ke-17 di Indonesia yang bermula hari ini.

Sumber: mStar