PAS Kedah Dakwa Mukhriz "Lemah", Rugikan Rakyat


Mendakwa kedudukan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dalam keadaan "lemah" ekoran pergolakan dalaman UMNO, PAS Kedah tampil mengampil kesempatan menguatkan azam untuk menawan negeri itu dari tangan pentadbiran Barisan Nasional.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Dr Mohd Hayati Othman berkata, ekoran sikap bapa Mukhriz, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyerang pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, membuatkan Menteri Besar Kedah itu tersentap dalam dilema menentukan pendirian sendiri.

"Umum beranggapan Mukhriz gagal menyatakan pendirian jelas berhubung asakan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang mengecam pentadbiran Najib. Dilema itu diakui beliau sebagaimana tersiar di media. 

"Tambahan pula pengalamannya sebagai Timbalan Menteri dahulunya tidak mampu memberi impak besar kepada negeri Kedah dan rekodnya selaku Menteri Besar sehingga ke hari ini menunjukkan beliau belum mempunyai wawasan realistik melainkan hanya retorik," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, tambahan pula enam senarai projek mega Mukhriz tidak tersenarai dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang diumumkan Perdana Menteri, ia membayangkan pentadbiran anak Tun Dr Mahathir itu seolah terabai dan merugikan rakyat negeri Kedah.

"Adalah malang, apabila 6 projek mega di Kedah tidak tersenarai dalam agenda pembangunan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang diumumkan baru-baru ini. 

"Sama ada Kedah diabai dan didiskriminasikan atau lantaran permainan politik dalaman Umno-BN, yang pasti rakyat negeri Kedahlah mendapat kerugian atas semua itu," katanya lagi. -Kedahnews.com

Berikut adalah kenyataan penuh Dr Hayati;  
KENYATAAN MEDIA
BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI KEDAH
12 Syawal 1436 | 28 Julai 2015 
"Mukhriz Dirundung Dilema, Kedah Terumbang Ambing" 
1. Negeri Kedah kini berada dalam keadaan tidak menentu ekoran Menteri Besar, Dato' Seri Mukhriz Mahathir dilihat terumbang ambing mendepani situasi politik semasa khususnya pergolakan dalaman Umno-BN. 
2. PAS Kedah tidak menolak kemungkinan Umno Negeri Kedah sedang turut dicengkam pertembungan dalaman yang cuba disembunyikan sebagaimana sedang berlaku dalam Umno di peringkat nasional. 
3. Terkini menyaksikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin digugurkan dari rombakan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. 
4. Umum beranggapan Mukhriz gagal menyatakan pendirian jelas berhubung asakan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang mengecam pentadbiran Najib. Dilema itu diakui beliau sebagaimana tersiar di media. 
5. Tambahan pula pengalamannya sebagai Timbalan Menteri dahulunya tidak mampu memberi impak besar kepada negeri Kedah dan rekodnya selaku Menteri Besar sehingga ke hari ini menunjukkan beliau belum mempunyai wawasan realistik melainkan hanya retorik. 
6. Bahkan kehendak Mukhriz untuk mengadakan pembangunan mega yang dibanggakannya tidak menjejak ke bumi nyata dan tidak menyentuh keperluan sebenar rakyat negeri ini. Tiada pembelaan sewajarnya terhadap isu dan hak rakyat yang mencengkam kehidupan rakyat disebabkan kejatuhan harga getah, kenaikan harga barangan, masalah perbekalan air, pampasan harga tanah dimanipulasi dan sebagainya. 
7. Adalah malang, apabila 6 projek mega di Kedah tidak tersenarai dalam agenda pembangunan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang diumumkan baru-baru ini. Sama ada Kedah diabai dan didiskriminasikan atau lantaran permainan politik dalaman Umno-BN, yang pasti rakyat negeri Kedahlah mendapat kerugian atas semua itu. 
8. Sehubungan itu, PAS Negeri Kedah berazam dengan sepenuh tekad untuk kembali ke Wisma Darul Aman menerajui Kerajaan Negeri Kedah, seterusnya menyambung semula usaha mensejahterakan rakyat negeri Jelapang Padi tercinta ini dengan pemerintahan dan perkhidmatan lebih baik. 
9. PAS Negeri Kedah menyeru agar seluruh rakyat memberi penilaian secara adil dan bersama kami untuk memastikan hasrat ini direalisasikan menerusi undi pada Pilihan Raya Umum akan datang. 
DATO' DR MOHD HAYATI OTHMAN
Timbalan Pesuruhjaya
PAS Negeri Kedah