PAS Mahu Kerajaan Kurangkan Lambakan Pekerja Asing Di Malaysia


KUALA LUMPUR – PAS mahu Kerajaan Persekutuan membuat satu perancangan jangka masa panjang bagi mengurangkan kebergantungan industri dalam negara terhadap pekerja asing.

Naib Presidennya, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, kerajaan perlu mempunyai kawalan yang ketat terhadap kemasukan pekerja asing.

“Satu perancangan jangka panjang agar pergantungan negara terhadap pekerja asing dapat dikurangkan perlu dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iskandar yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor mendakwa kemasukan pekerja asing termasuk warga Bangladesh ke negara ini berada pada tahap membimbangkan rakyat.

Beliau turut mendakwa keadaan di Malaysia sekarang seolah-olah tidak terkawal kerana terdapat sektor pekerjaan yang dikuasai pekerja asing.

“Telah terbukti juga bahawa tanpa mereka terdapat sektor-sektor seperti pembinaan dan perladangan akan lumpuh,” dakwanya,

Beliau turut meminta kerajaan mengumumkan statistik kemasukan pekerja asing kepada umum.

Mynewshub.cc hari ini melaporkan setakat tahun ini saja, jumlah mereka yang bekerja secara sah atau haram di pelbagai sektor di negara ini dikatakan mencecah 6.7 juta orang

Kebanyakan majikan memilih pekerja asing berbanding pekerja tempatan kerana kadar bayaran gaji yang diberikan lebih murah dan faktor ‘rajin bekerja’ mereka.

Sikap dan ‘mindset’ rajin bekerja itu menyebabkan ada seorang pekerja asing dikatakan telah menerima gaji bulanannya setinggi RM5,000. -Kedahnews.com