PAS Mula Beri Amaran Tentang "Gerakan Harapan Baru" Mat Sabu


KUALA LUMPUR – Parti Islam baharu yang akan ditubuhkan oleh bekas-bekas pemimpin PAS yang disingkirkan pada pemilihan parti itu pada Jun lalu, Gerakan Harapan Baru (GHB), dikatakan hanya akan disenangi oleh gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, PAS percaya GHB akan turut disenangi pihak-pihak lain yang sentiasa bertentangan dengan ajaran Islam iaitu DAP, Sister in Islam, Lawyer for Liberty dan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango).

“Jelas sekali, parti baru yang bakal ditubuhkan ini tidak berteraskan ajaran Islam yang sebenar tetapi ajaran yang selari dengan gagasan Muslim Progresif. Gagasan seperti ini jauh bertentangan dengan Islam diperjuangkan oleh PAS,” tegasya dalam satu kenyataan media semalam.

Mohd. Zuhdi berkata, GHB bakal memperjuangkan matlamat yang ingin dicapai oleh golongan Muslim Progresif seperti yang disebut dalam buku “Progressive Muslim: On Justice, Gender and Pluralism” susunan Omid Safi.

Malah, katanya, GHB sendiri berbangga menggelar diri mereka sebagai kumpulan progresif sekaligus memperakui hakikat itu sedangkan gagasan pemikiran Muslim Progresif sebenarnya selari dengan Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia yang selalu disebut sebagai Islam Liberal.

Selain itu, katanya, gagasan pemikiran Muslim Progresif ini adalah cerminan kepada gagasan American Islam atau Islam Ala Amerika yang pernah dipopularkan oleh bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sekitar 1990.

“Mohamad Sabu sering menggunakan istilah Islam Ala Amerika ini dalam ceramah-ceramah beliau dahulu bagi menggambarkan Islamisasi yang dirintis oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa beliau dalam UMNO ketika itu sebagai bukan agenda Islam yang sebenar,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, bekas-bekas pemimpin PAS yang disingkirkan pada pemilihan parti Jun lalu (G18) menubuhkan parti baharu itu sebagai pelan ‘B’ selepas gagal menguasai PAS demi agenda dan kepentingan cita-cita politik masing-masing.

“Mereka tidak pernah rasa ralat dan bersalah jauh sekali terasa sayang kepada PAS kerana PAS hanyalah batu loncatan atau platform untuk capai cita-cita politik mereka.

“Mereka sebenarnya mempunyai jamaah lain yang diberikan wala atau kesetiaan. Mereka punya rumah kekal tempat mereka memusatkan segala strategi dan perencanaan. PAS adalah rumah tumpangan untuk mereka beraksi sebagai `front’ politik semata-mata, tidak lebih dari itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nasrudin dalam pada itu menyelar kumpulan G18 terbabit sebagai golongan yang sangat tidak bermaruah kerana masih berstatus ahli PAS untuk melakukan perkara yang merosakkan parti dari dalam.

Tegas beliau, golongan itu merupakan pengkhianat dan penjahat kepada jamaah Islam kerana masih kekal dalam PAS untuk menghasut ahli PAS menyertai parti mereka yang bakal ditubuh kelak.

Bagaimanapun, katanya, beliau yakin GHB hanya mampu menarik individu yang berkepentingan diri dan mempunyai agenda tertentu yang bertentangan dengan dasar parti keluar daripada PAS.

“Sementara mereka yang sememangnya mempunyai agenda tertentu yang bersalahan dengan dasar dan prinsip perjuangan Islam yang didokong oleh PAS akan pantas menjadikan situasi pasca Muktamar PAS Ke-61 sebagai `turning point’ untuk mereka meninggalkan PAS.

“Saya yakin golongan ini sebenarnya sejak hari pertama mereka menyertai PAS telah tersemat dalam diri mereka perancangan seperti ini. Ia adalah pelan ‘B’ mereka setelah gagal menguasai PAS dengan agenda mereka,” ujarnya. -Kedahnews.com