PAS Mungkin Akan Adakan Satu "Muktamar Khas" - Muslimat PAS


AJK Dewan Muslimat PAS, Normala Sudirman mendakwa berkemungkinan akan berlaku "Muktamar Khas" bagi parti itu sekiranya pemimpin PAS Johor meletak jawatan beramai-ramai dan berpindah ke parti baru.

“Kemungkinan juga satu ‘Muktamar Khas’ bakal berlaku sekiranya sebahagian besar AJK Dewan Muslimat Negeri Johor dan Dewan Pemuda PAS Johor meletak jawatan beramai-ramai  untuk berpindah ke parti baru.

“Seboleh-bolehnya kita tidak mahu situasi ini berlaku dan kita bersedia atas segala kemungkinan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Normala berkata, sikap segelintir pemimpin tertinggi negeri dalam parti yang menggunakan aplikasi "WhatsApp AJK PAS" menyebarkan maklumat tentang kewujudkan parti baru juga amat dia kesali.

Katanya lagi, tindakan itu bukan saja mempengaruhi pemikiran dan pendirian Yang Di Pertua atau Ketua Muslimat Kawasan berpindah ke parti baru, tetapi mampu mengelirukan ramai pihak sehingga menjejaskan matlamat laman sosial itu.

Lebih mengecewakan katanya, terdapat segelintir pimpinan tertinggi parti sesi 2013-2015 bertindak menggerakkan usaha ke arah penubuhan Gerakan Harapan Baru (GHB),  meskipun masih berstatus ahli PAS dan berjawatan di pelbagai peringkat.

"Ada sebahagian daripada mereka idola saya dalam perjuangan, tetapi keputusan berpindah ke wadah parti baru dan meninggalkan PAS tidak akan saya turuti. 

"Walaupun begitu, keputusan mereka saya hormati kerana itu hak masing-masing walaupun jauh di sudut hati, saya cukup kecewa.

“Bagi ahli PAS di Johor khususnya, saya ingin beri ingatan supaya tidak menjadi ‘gunting dalam lipatan’ dengan menarik ahli keluar parti dengan menggunakan jawatan yang diamanahkan dan dalam pada masa sama masih kekal sebagai ahli PAS,” katanya.

Justeru itu Normala menyeru kepada seluruh ahli PAS supaya terus beristiqamah dengan kelangsungan perjuangan parti walaupun cabaran dalam menongkah arus perjuangan semakin hebat. -Kedahnews.com