PAS Seolah Bimbang, Takut Dan Risau Pada GHB - Mahfuz Omar


ALOR SETAR - Bekas Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar mendakwa PAS seolah-olah bimbang, takut dan risau terhadap penubuhan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang diketuai bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Kata Mahfuz, reaksi yang diberikan itu terzahir menerusi kenyataan-kenyataan barisan kepemimpin PAS dan beliau menjangka sokongan para pengundi Islam terhadap parti itu akan merosot, serta memerlukan "ubat cirit-birit mulut" untuk menjernihkan keadaan.

"Sehingga sekarang saya belum nampak sesuatu yang dilakukan. Malah apa yang saya lihat ialah beberapa tindakan dan kenyataan yang dibuat oleh Pimpinan PAS bakal mengundang kemerosotan sokongan pengundi Islam Melayu itu sendiri.

"Respon PAS terhadap Gerakan Harapan Baru memperlihatkan kerisauan, kebimbangan dan ketakutan PAS terhadap kemunculan kumpulan tersebut. Kenyataan mengecam GHB dan pimpinannya membuka ruang untuk ahli PAS memberikan respon yang baik terhadap gerakan itu," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Memetik dari Malaysiakini, tambah bekas Pesuruhjaya PAS Kedah itu, kenyataan di kalangan pimpinan PAS yang disiarkan akhbar Harakah hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Mahfuz merujuk kepada tulisan disiar akhbar rasmi PAS yang menuduh ahli serta pimpinan dari latar belakang kumpulan lain seperti Jemaah Islah Malaysia dan IKRAM sebagai perosak parti.

"Semua harus mengakui sedikit sebanyak kekuatan yang ada pada IKRAM yang mempunyai rangkaian di pelbagai peringkat akan menjejaskan kekuatan PAS," katanya.  -Kedahnews.com