Pasangan Warga Emas Dicekup Berkhalwat, Cemar Ramadhan

Pasangan berusia ini ditahan di sebuah rumah sewa di Semabok selepas pihak bertanggungjawab menerima aduan daripada penduduk sekitar.
BANDARAYA MELAKA – Kemuliaan bulan Ramadan dicemari apabila masih ada pasangan dicekup berkhalwat kira-kira jam 2.30 pagi, semalam.

Bertambah memalukan apabila siasatan awal mendapati lelaki berusia 57 tahun itu sudah berkahwin dan mempunyai empat anak sementara pasangannya berusia 49 tahun, mempunyai seorang cahaya mata.

Menurut sumber, semasa dicekup pihak berkuasa di sebuah rumah sewa di Semabok, lelaki terbabit hanya berseluar pendek dan wanita itu sedang terbaring berselimut.

Selepas ditanya berulang kali, mereka mengaku bukan pasangan suami isteri.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka dibawa ke Balai Polis Kandang sebelum ke pejabat Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) untuk siasatan.

Sementara itu, Ketua Penguatkuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, difahamkan wanita berkenaan uzur dan baharu sahaja keluar dari hospital.

“Siasatan masih dijalankan tetapi kita kesal dengan perbuatan ini.

“Sekiranya hendak menolong sekali pun, gunakanlah saluran yang sebenar kerana perbuatan seperti itu boleh mendatangkan fitnah,” katanya semasa dihubungi, kelmarin.

Katanya, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Melaka 1991 dan sekiranya sabit bersalah boleh dihukum denda RM3,000 dan dua tahun penjara bagi lelaki sementara wanita RM2,000 serta penjara 12 bulan. – Sinar Harian