PATI: Jabatan Imigresen Kutip Kompaun RM31 Juta Dari 1 Januari 2015

Jabatan Imigresen Malaysia
TANAH MERAH – Jabatan Imigresen mengutip kompaun sebanyak RM31 juta di bawah Program 3+1, iaitu program serah diri dan hantar pulang warga asing yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen, bagi tempoh 1 Januari hingga 13 Julai lepas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, jumlah pembayaran kompaun berkenaan melibatkan 78,752 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) dari pelbagai negara termasuk Nepal, Kemboja, Filipina dan Indonesia.

“Pati yang melakukan kesalahan tinggal melebihi tempoh dan tanpa permit yang sah tidak akan dikenakan tindakan (mahkamah) sekiranya mereka menyerah diri, mereka hanya perlu membayar RM100 untuk pas khas dan RM300 untuk kompaun,” katanya kepada pemberita di Majlis Iftar Jabatan Imigresen Malaysia di depot Imigresen di sini, malam tadi.

Mustafa berkata, Pati dari Indonesia mencatat bilangan yang paling tinggi iaitu sebanyak 39,827 orang bagi kedua-dua kesalahan iaitu tinggal melebihi tempoh dan tanpa permit sah.

“Ini diikuti Nepal (9,148), India (6,468), Bangladesh (6,034), Myanmar (5,043), Pakistan (4,135), Vietnam (3,083), Sri Lanka (1,621), Filipina (1,084), Kemboja (913) dan lain-lain warga (1,396),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mustafa berkata 11 warga asing ditahan dalam Op Bersepadu yang diadakan selama lima hari bermula 9 Julai lalu di Kelantan.

Beliau berkata, sembilan daripadanya merupakan warga Thailand dan selebihnya masing-masing warga Kemboja dan Indonesia yang ditahan pada Isnin lalu ketika sekatan jalan raya di Jeram Perdah, Rantau Panjang.

“Lapan warga Thailand dan seorang warga Kemboja ditahan mengikut kesalahan 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 manakala selebihnya ditahan menurut kesalahan 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Kesemua yang ditahan dihantar ke Depot Tahanan di sini bagi siasatan lanjut. – BERNAMA