PATI Wanita Dari Indonesia Dicekup Di Jitra, Tak Sempat Habiskan Kerja

Wanita Indonesia (tengah) yang leka menyusun barangan di kedai berkenaan ditahan anggota imigresen
ALOR SETAR -  Hasrat seorang wanita warga Indonesia menyelesaikan urusan kerja di sebuah premis kedai tergendala apabila ditahan dalam Ops Belanja Ahad lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 4.10 petang itu, seorang wanita warga Indonesia kelihatan tekun menyusun barangan sebelum ditahan di Taman Suria II, Jalan Hospital Jitra, Jitra.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata, wanita ditahan dalam operasi diketuai Timbalan Pengarah Imigresen, Yusrazif Wan Yusoh berkenaan berusia 30 tahun.

“Turut ditahan dalam operasi, seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun mengaku sebagai pemilik premis kedai dan juga majikan wanita tersebut.

“Wanita berkenaan dipercayai memiliki dokumen perjalanan, namun melanggar syarat pas lawatan. 

"Manakala, majikannya disiasat kerana disyaki melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati),” katanya.

Mohamad Yusri berkata, kira-kira 14 Pati warga Kemboja pula ditahan dalam operasi berasingan di beberapa kediaman di sekitar Pokok Sena dan Pendang pada jam 1.15 pagi, dalam Ops Pintu kelmarin.

Menurutnya, enam Pati ditahan di Kampung Belukar Kedundong, manakala lima di Kampung Pancor, Pokok Sena dan tiga ditahan di Jalan Kubur Panjang, di sini.

Katanya, siasatan mendapati wanita ditahan di Jalan Kubur Panjang tiada dokumen perjalanan, manakala selebihnya ditahan kerana tinggal lebih masa.
 
Sumber: Sinar Harian