KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa lebih serius dalam menjalankan tanggungjawab diamanahkan bagi menangani kegiatan perjudian haram yang dikatakan sudah beroperasi semula.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, langkah membanteras aktiviti tersebut akan lebih berkesan jika semua pihak turun padang dan bekerjasama secara bersepadu untuk menghapuskan kegiatan terbabit sehingga ke akar umbi.
“PBT sepatutnya dapat menghidu gerak-geri mencurigakan yang berlaku di tempat mereka sekiranya pemantauan dilakukan dengan lebih serius kerana dalam isu judi ini kita tidak boleh harapkan pihak polis semata-mata.
“Mereka perlu lebih kerap membuat tinjauan, penguatkuasaan di premis-premis yang pernah terlibat dan juga yang berpotensi dijadikan rumah judi. Bukannya secara ala kadar atau ‘tutup sebelah mata’,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
Sementara itu katanya, untuk menyelesaikan masalah ini secara holistik, PBT perlu tahu keutamaan yang harus diberikan perhatian dengan mengenalpasti dan memantau penggunaan premis-premis yang didaftarkan sebagai pusat hiburan keluarga di kawasan masing-masing.
“Kadang kalau ada orang nak ubahsuai rumah, baru saja tuang pasir pegawai mereka sudah datang dan tegur. Dalam hal ini jika bertindak sama cepat seperti itu dengan memperbanyakkan pemeriksaan di premis-premis judi, tentu kegiatan tersebut tidak kembali.
“Hendak hapuskan bukan senang, maknanya jika mereka tidak bersungguh-sungguh melaksanakan tanggungjawab mereka susahlah. Mereka kena tahu bidang kuasa dengan jelas,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya unsur rasuah antara kakitangan penguatkuasa PBT dengan pemilik pusat judi sehingga menyebabkan gejala berkenaan sukar dibendung.
“Di sesetengah tempat sudah terang-terangan ada kegiatan judi berlaku di situ malah terletak di kawasan yang mudah dilihat, tak mungkin PBT tidak mengesyakinya. Tetapi sehingga sekarang premis terbabit masih wujud dan beroperasi,” katanya.
Sumber: Utusan