Pekan Rabu, Menara Alor Setar Lokasi Himpunan Hari Al-Quds 10 Julai Ini

Al-Quds
KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyasarkan 50,000 umat Islam seluruh negara berkumpul dalam perhimpunan aman sempena sambutan Hari Peringatan Al Quds pada 10 Julai ini.

Presiden Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata perhimpunan yang dianjurkan di Masjid Negara di sini dan beberapa negeri serentak selepas waktu solat Jumaat itu akan turut disertai 20 badan bukan kerajaan (NGO).

“Umat Islam seluruh dunia telah bersetuju untuk mengadakan perhimpunan membantah keganasan terutama terhadap Al Quds (Baitulmaqdis) pada Jumaat terakhir setiap bulan Ramadan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata hasil perhimpunan itu akan mengeluarkan memorandum bantahan terhadap keganasan yang dilakukan oleh Israel terhadap Palestin untuk diserahkan kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).


Katanya, perhimpunan aman itu juga ingin menyeru masyarakat berbilang kaum untuk turut sama memberi perhatian yang khusus terhadap keganasan kemanusiaan yang semakin meruncing di beberapa negara bergolak.

Dalam pada itu, Mohd. Azmi meminta orang ramai untuk turut sama menyatakan sokongan terhadap pembebasan Al Quds menerusi laman sosial dengan memuat naik gambar ‘selfie’ dan meletakkan tanda #Selfie4AlQuds.

“Kami menyasarkan sebanyak sejuta selfie yang menyokong usaha kami dapat dikumpul untuk menyampaikan memorandum bantahan kepada pihak PBB nanti,” kata beliau.

Perhimpunan itu turut diadakan di Dataran Bandaraya, Johor Bahru di Johor; Masjid Muhammadi, Kota Bharu di Kelantan; Pekan Rabu dan Menara Alor Setar di Kedah; serta Masjid Seberang Jaya di Pulau Pinang. – BERNAMA