Keadaan sekitar kediaman penduduk terlibat banjir kilat. |
ALOR SETAR - Hujan tanpa henti sejak seminggu lalu menyebabkan banjir kilat melanda enam kediaman di Taman Sri Bagan, Tandop, dekat sini.
Penduduk, Mohd Sapri Hashim, 50, berkata, kediaman mereka dinaiki air sejak beberapa hari lalu.
"Beberapa penduduk terpaksa hidup dalam rumah yang dinaiki air hujan.
"Lebih memburukkan keadaan, perabot juga habis rosak akibat ditenggelami air," katanya.
Menurutnya, persiapan raya kebanyakan penduduk juga tergendala apabila tidak dapat melakukan apa-apa dalam keadaan rumah bertakung air.
"Kami buntu memikirkan keadaan air yang bergenang sejak seminggu lalu.
"Penduduk yang menjalankan perniagaan juga buntu apabila tidak dapat meneruskan kerja demi mencari rezeki untuk keluarga," katanya.
Mohd Sapri berkata, penduduk percaya masalah berkenaan berpunca akibat ketiadaan sistem saliran selepas pihak kontraktor menambak tanah untuk sebuah projek perumahan.
Oleh itu katanya, penduduk merayu pihak berkenaan mengambil tindakan sewajarnya memandangkan Aidilfitri bakal menjelma beberapa hari lagi.
"Kami harap pihak berkenaan dapat memperbesarkan sistem perparitan atau memasang pembetung U demi mencegah kejadian itu berulang.
"Penduduk bimbang masalah berlarutan seandainya tiada tindakan diambil sebelum projek pembinaan taman perumahan diteruskan," katanya.
Sumber: Sinar Harian