Penganggur Mengaku Tidak Bersalah Curi Telefon Di Low Yat

Orang kena tuduh (OKT), Shahrul Anuar Abdul Aziz
KUALA LUMPUR – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan mencuri sebuah telefon bimbit di Plaza Low Yat di sini, Sabtu lepas.

Shahrul Anuar Abdul Aziz, 22, didakwa mencuri telefon bimbit berharga RM800 di Techasia Boutique, Plaza Low Yat, Bukit Bintang pada 4.47 petang, 11 Julai lalu.

Majistret Nur Aminahtul Mardiah Noor Nordin membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 14 Ogos untuk sebutan semula.

Terdahulu, Shahrul Anuar mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dua kali.

“Iya…tapi tidak ada barang kes,” katanya.

Nur Aminahtul Mardiah kemudian menanya peguam Shahrudin Ali yang mewakili tertuduh, sama ada beliau telah menasihatkan anak guamnya berhubung pertuduhan itu.

Shahrudin berkata: “Pengakuan bersalah tertuduh mengejutkan saya kerana saya telah nasihatkannya supaya tidak mengaku bersalah,” katanya.

Shahrul Anuar kemudian menukar pengakuan kepada tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca kali ketiga.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim mencadangkan jaminan ditetapkan pada RM5,000 dengan seorang penjamin.

Shahrudin bagaimanapun memohon supaya jaminan dikurangkan.

“Anak guam saya merupakan anak bongsu daripada tiga beradik. Dia menjaga kedua ibu bapanya yang merupakan orang kurang upaya (bisu). Dia juga merupakan pesalah muda,” katanya.

Kedua iba bapanya hadir di mahkamah. – BERNAMA