Pengasas Syarikat Jenama Sukan NIKE Mahu Bersara Tahun Depan

Phil Knight
NEW YORK – Phil Knight, yang membangunkan Nike daripada sebuah syarikat kasut sederhana kepada gergasi sukan global, merancang melepaskan jawatannya sebagai pengerusi, umum syarikat berkenaan hari ini.

Sehubungan itu, Knight, 77, mencadangkan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu Mark Parker menggantikan tempatnya apabila beliau meletak jawatan pada 2016, umum syarikat itu lagi.

Beliau yang juga bekas bintang olahraga Universiti Oregon, melancarkan Nike di Portland, Oregon pada tahun 1968 selepas menjual kasut sniker di but keretanya.

Dalam tempoh beberapa tahun selepas itu, Nike terus berkembang sehingga menjadi gergasi pemasaran sukan global, menyaingi jenama Jerman, Adidas yang lebih dulu berada di pasaran.

Logo syarikat itu, swoosh dan motto, `Just Do It’ kini sudah sebati dengan dunia sukan. 

Hari ini, Nike menaja ramai atlet ikon dunia termasuk Michael Jordan, Tiger Woods, Serena Williams, Rory McIlroy, Roger Federer, Cristiano Ronaldo dan Neymar.

Minggu lalu, Nike dilaporkan mencatat keuntungan fiskal sebanyak AS$3.3 bilion (RM12.33 bilion) daripada AS$30.6 bilion (RM114.334 bilion) perolehan.

Knight, yang dilaporkan oleh majalah Forbes memiliki kekayaan kira-kira $24.3 billion (RM90.7 bilion) bagaimanapun merancang untuk terus kekal bersama Nike selepas itu.

“Pada saya, Nike bukan lagi sekadar sebuah syarikat – ia menjadikan hidup saya mengujakan,” katanya dalam satu kenyataan. – AFP