Gambar Hiasan |
KUALA LUMPUR – Akibat menyimpan sebuah motosikal curi, seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Muhamad Faizal Ismail menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohammad Yusuf Mohamad Ghafur, 39, setelah dia mengaku bersalah menyimpan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss milik Muhammad Hadi Tan Abdullah, 46, seorang peniaga.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 28 Julai lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda.
Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan dia perlu menanggung seorang ibu dan tiga orang anak saudara.
Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira tertuduh mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau berkaitan dadah. – BERNAMA