RAMAI umat Islam sering beranggapan, pihak pengurusan zakat tidak menjalankan kerja-kerja agihan zakat dengan cekap dan berkesan. Jadi, bolehkah ustaz perjelaskan maksud sebenar agihan zakat dan perbandingannya dengan kutipan zakat?
Jawapan:
Benar, ramai orang sering beranggapan sedemikian. Maka, dalam kesempatan ini ingin saya perjelaskan dengan lebih rinci, apakah makna sebenar agihan zakat.
Agihan zakat secara mudahnya bermaksud, ‘mengambil harta daripada kalangan orang kaya yang wajib menunaikan zakat dan mengagihkannya kembali kepada yang memerlukan mengikut hukum dan peraturan tertentu yang telah ditetapkan oleh syarak.’
Hal ini selaras dengan apa yang pernah disabdakan sendiri oleh Nabi Muhammad SAW kepada Saiyidina Muadz bin Jabal ra ketika mengutuskannya ke Yaman, iaitu:
"Ajarkanlah bahawa Allah SWT memerintahkan kepada mereka supaya membayar zakat harta mereka, diambil daripada orang yang kaya di antara mereka dan diberikan kepada orang-orang yang miskin (di kalangan mereka)." (riwayat Imam Bukhari)
Oleh itu, secara umumnya dapat kita fahami bahawa dalam pengagihan zakat, ada tiga pihak yang terlibat. Pertama, pengeluar zakat, kedua pihak pengutip zakat (amil) dan ketiga, penerima zakat. Peranan pengagih zakat di sinilah yang sering dilabelkan sebagai tidak cekap. Walhal, dalam mengagihkan zakat ia tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya, kerana ia melibatkan hak bagi kalangan yang berhak (mustahiq atau asnaf).
Jelas agihan zakat tidak boleh dilakukan sambal lewa. Selari dengan definisi awal zakat, iaitu ‘mengagihkan harta tertentu kepada asnaf tertentu dengan syarat tertentu,’ maka ia adalah ibadah yang sangat khusus sifatnya.
Kesilapan dalam mengagihkan zakat boleh mempengaruhi akan statusnya, sama ada sah atau tidak, afdal atau tidak dan pelbagai lagi implikasi hukum di sisi syarak, termasuklah berdosa jika diagihkan tanpa kawalan oleh para pengagihnya.
Lalu antara perkara yang wajib diperhalusi dalam pengagihan zakat ialah:
Penerima – Wajib dipastikan bahawa penerima zakat adalah mereka yang benar-benar termasuk dalam salah satu asnaf zakat yang terdiri lapan golongan itu. Jika mereka tidak termasuk ke dalam mana-mana asnaf, maka haramlah mereka memakannya. Tugas mengenal pasti asnaf bukanlah mudah, melainkan ia memerlukan keahlian khusus yang hanya dimiliki oleh pihak amil.
Sabda Nabi Muhammad SAW:
“Tidak ada hak zakat untuk orang kaya, mahu pun orang yang masih kuat bekerja.” (riwayat Imam an-Nasa’i dan Abu Daud)
Jenis bantuan – hendaklah dipastikan apakah bantuan zakat itu bersifat zat, manfaat atau kedua-duanya sekali gus. Ia juga perlu disalurkan sesuai dengan keperluan. Di sinilah peranan amil dalam melihat apakah jenis dan bentuk bantuan yang sesuai dihulurkan, bukan sekadar wang ringgit semata-mata.
Berkata Saiyidina Umar al-Khattab ra: “Apabila kamu memberikan zakat kepada mereka (asnaf), maka kayakanlah (memenuhi keperluan) mereka.” (al-amwal, Abu Ubaid)
Keperluan
Jumlah bantuan – Sekali lagi pihak pengurusan zakat juga diberikan tanggungjawab memastikan jumlah bantuan yang disalurkan itu, bersesuaian dengan keperluan penerima. Ini kerana, bukan semua orang mempunyai keperluan yang serupa. Ia perlu sesuai dengan jumlah tanggungan, jenis keperluan dan tahap ekonomi masing-masing.
Maka fuqaha berkata, pihak pengurusan zakat berhak membuat ijtihad sesuai dengan keperluan asnaf. Hal ini kerana, Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW tidak menyatakan dengan jelas jumlah dan jenis bantuan bagi semua asnaf.
Kaedah fikah menyatakan: ‘Tiada ijtihad terhadap sesuatu perkara yang sudah dinaskan ke atasnya.’ Maka dek kerana tiada nas tentang perincian berkenaan, pihak pengurus zakat boleh berijtihad dalam mencorakkan bantuan zakat.
Kaedah fikah juga menyarankan: ‘Tindakan pemerintah (amil adalah wakil pemerintah) ke atas rakyat, mestilah berasaskan maslahah (keperluan mereka).’
Tempoh bantuan zakat – Pihak pengurusan zakat juga wajib memantau dan mengehadkan tempoh bantuan, dengan merencanakan pembangunan yang mapan kepada penerima zakat. Hal ini hanya mampu dilakukan oleh pihak pengurusan zakat dan hampir mustahil dilakukan sendiri oleh pengeluar zakat.
Maka, atas objektif berkenaan asnaf zakat akan diberikan kursus keusahawanan, klinik perniagaan, sistem mentor mentee, modal perniagaan bertahap, bantuan pendidikan dan sebagainya lagi. Ini semua demi melihat mereka tidak terus kekal dalam kepompong kemiskinan dan berjaya.
Perancangan jangka panjang – Kemiskinan amat berkait rapat dengan status sosial dan ekonomi. Tidak siapa mampu menduga bagaimana keadaan sosioekonomi negara pada tempoh akan datang. Maka, di sini peranan pihak pengurusan zakat untuk membuat unjuran dan persiapan, jika ditakdirkan kutipan zakat tiba-tiba merosot adalah sangat penting.
Pihak pengurusan zakat perlu menyiapkan perancangan tertentu untuk menampung keperluan asnaf, seperti mengembangkan potensi asnaf dalam bidang pertanian, mengembangkan modal wang zakat dengan pelaburan yang tertentu dan sebagainya. Pendeknya, kewujudan sebuah institusi zakat yang teratur dan profesional, mampu mengurangi risiko kepada keperluan asnaf dalam bentuk jangka panjang.
Sumber: Utusan