Intan Fatihah menunjukkan wang RM100 tulen (kiri) dan palsu yang diterimanya daripada seorang pelanggan. |
Intan Fatihah Abu Bakar, 25, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, seorang gadis lingkungan 20-an masuk ke kedainya dalam keadaan kelam kabut.
“Kebiasaannya, kami memang kenal orang yang datang dan kebanyakan mereka pelanggan tetap. Tapi, gadis ini memang tak pernah datang dan dia nampak kelam kabut.
"Gadis itu beli tiga botol air penawar dengan harga RM10 dan menyerahkan RM100 kepada kakak saya untuk membuat pembayaran,” katanya.
Menurutnya, selepas menerima baki RM90, gadis terbabit terus keluar daripada kedai.
“Masa itu, kakak fikir gadis itu mahu cepat sebab ada hal. Kakak sempat juga belek not RM100 tapi tak perasan wang itu palsu dan terus serahkan baki.
“Ambil sahaja wang baki, dia terus keluar. Tapi, masa kakak saya bagi bakinya dia nampak terkejut dan kelam kabut,” katanya.
Intan Fatihah berkata, wang itu disedari palsu ketika kakaknya mengira hasil jualan sebelum mendapati terdapat not RM100 yang agak berbeza.
“Wang itu nampak serupa dengan yang tulen. Kalau kita sibuk memang tak perasan pun wang itu palsu.
“Kalau tengok betul-betul, gambar raja yang berbayang pun tak ada,
kertasnya agak kasar dan benang keselamatannya juga berlainan,” katanya.
Difahamkan, mangsa turut membawa wang RM100 terbabit ke bank untuk diperiksa dan disahkan wang tersebut palsu.