Pusat tumpuan jualan barangan elektronik terkenal, Plaza Low Yat telah digemparkan dengan satu pergaduhan melibatkan pembeli dan sebuah premis telefon bimbit kira-kira jam 7.50 malam, semalam.
Kes tersebut bukan sahaja kecoh kerana ada adegan kejar mengejar antara pembeli dengan peniaga, malah ia kemudiannya menjadi topik hangat para pengguna di laman-laman dan media sosial.
Berdasarkan cerita-cerita yang dikongsikan warga netizen, ia bermula setelah seorang pelanggan Melayu berasa tertipu apabila sebuah telefon bimbit jenis Oppo yang baru dibelinya di premis tersebut bermasalah.
Dia kemudiannya datang semula ke kedai dan menuntut wangnya dikembalikan. Walau bagaimanapun, dia dikatakan telah dihalau oleh peniaga kedai itu dengan cara biadab dan memalukan.
Malah, pembeli itu dikatakan turut ditahan oleh pihak polis untuk siasatan sebelum dilepaskan.
Mungkin tidak berpuas hati dengan penipuan yang dibuat kedai telefon itu, pembeli terbabit kembali bersama beberapa orang rakannya ke premis perniagaan di Plaza Low Yat itu mengakibatkan para peniaga kedai tersebut lari bertempiaran.
Turut terdedah, butir didakwa salinan perbualan peniaga terbabit yang "sandiwara" merakam video pergaduhan secara "sekerat-sekerat" dan membuat laporan polis terhadap pembeli terbabit untuk melindungi kejadian yang sebenar.
Dalam reaksi kepada isu tersebut, ramai netizen memihak kepada pembeli.
Menurut pendapat rata-rata individu di laman sosial, sebagai pelanggan yang teraniaya dia sememangnya mempunyai hak untuk menuntut kembali wangnya. Tapi biasalah, mana ada penjual yang nak beri balik wang hasil kerja menipu, bukan?
Menerusi perkembangan terkini, seorang individu telah ditahan pihak polis untuk siasatan kes tersebut.
Memetik kenyataan dari Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad, individu tersebut dikatakan telah memecahkan peralatan di premis berkenaan sehingga mengakibatkan kerugian mencecah RM70,000.
Malah, dia turut ditahan atas kesalahan mencederakan peniaga kedai berkenaan.
“Kejadian berpunca daripada perasaan tidak puas hati apabila salah seorang daripada mereka ditahan pengawal keselamatan kerana didakwa mencuri telefon bimbit di kedai itu sebelum diserahkan kepada polis,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Menurut sumber, kes kali ini bukanlah pertama kali kes pembeli menghadapi masalah apabila membeli produk dari peniaga di plaza berkenaan, cuma mungkin kali ini mangsa tersilap langkah sebab terlalu ikutkan perasaan ketika bertindak.
Sebelum ini dikatakan sudah ramai yang meluahkan rasa mendakwa mereka teraniaya oleh peniaga di premis-premis yang Plaza Low Yat, malah turut berdepan dengan masalah "gangsterisme" peniaga ketika cuba mendapatkan ganti rugi di sana,.
Apa pun Kedahnews.com menyarankan kepada para pengguna yang terasa ditipu supaya menggunakan saluran yang betul untuk menuntut hak anda kembali scara bijak seperti KPDNKK, persatuan pengguna atau pihak polis. -Kedahnews.com