Penjawat Awam Sepatutnya Jadi Benteng Mempertahan Kerajaan

Gambar Hiasan
BERA – Penjawat awam digesa memainkan peranan sebagai benteng untuk mempertahankan kerajaan daripada cubaan pihak tertentu yang mahu menggugat ekonomi dan pembangunan negara dengan melemparkan fitnah termasuk di laman media sosial.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penjawat awam juga seharusnya menyimpan semua rahsia rasmi kerajaan dengan sebaik-baiknya agar tidak bocor kepada petualang berkenaan.

“Kakitangan kerajaan juga perlu rasional dan prihatin dalam memainkan peranan menyampaikan maklumat sah dan tepat kepada rakyat supaya mereka mendapat gambaran sebenar kesungguhan kerajaan dalam melaksanakan pelbagai rancangan pembangunan,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama Ketua-ketua Jabatan Daerah Bera dan Penyampaian Sumbangan Aidilfitri kepada golongan miskin, anak yatim dan warga emas di sini.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani turut mengingatkan kepentingan penjawat awam untuk menjalin hubungan erat dengan rakyat supaya rancangan pembangunan yang mahu dilaksanakan kerajaan dapat berjalan lancar.

Selaku Anggota Parlimen Bera, Ismail Sabri juga melahirkan penghargaan kepada kakitangan kerajaan dan penduduk daerah itu kerana hubungan baik mereka dapat membangunkan Bera setakat ini. – BERNAMA