PUTRAJAYA – Kesemua 163,007 penjawat awam yang tidak membuat
pembayaran dan tidak konsisten menyelesaikan pinjaman Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diwajibkan membuat bayaran melalui
potongan gaji, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad
Zabidi Zainal.
Buat permulaan, katanya, sebanyak 480 warga Jabatan Perkhidmatan Awam
(JPA) termasuk 136 pegawai kumpulan pengurusan dan profesional akan
mula membuat potongan gaji bagi bayaran balik PTPTN September ini.
Tarikh permulaan pembayaran balik PTPTN melalui potongan gaji untuk
kementerian dan agensi lain akan dibincangkan pada perjumpaan dengan
para Ketua Setiausaha (KSU) dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada
Jumaat ini, katanya.
“Jumaat ini juga saya akan menyampaikan senarai nama penjawat awam
yang membuat pinjaman PTPTN kepada KSU dan SUK agar penjawat awam
membayar balik melalui potongan gaji,” katanya kepada pemberita selepas
Program Sesi Amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bersama pegawai JPA
dan sesi taklimat PTPTN di sini hari ini.
Beliau berkata jumlah potongan gaji bulanan akan ditentukan mengikut kemampuan masing-masing.
Mohamad Zabidi berkata nama penjawat awam yang membuat pinjaman PTPTN
akan dimasukkan ke Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS)
untuk memastikan mereka tidak terlepas daripada membuat bayaran balik
PTPTN.
“Sebagai penjawat awam, kita harus menunjukkan sikap bertanggungjawab
dan menjaga integriti untuk melunaskan hutang (pinjaman PTPTN) dan
bukan lari daripada tanggungjawab,” katanya.
Bulan lepas, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata
163,007 penjawat awam yang tidak pernah membuat pembayaran dan tidak
konsisten menyelesaikan pinjaman PPTPTN akan menerima surat pemotongan
gaji.
Ali berkata mengikut pecahan kategori, penjawat awam pelbagai gred
(kecuali Gred Jusa C, Gred 54 dan Gred 28) yang tidak pernah membuat
pembayaran adalah sebanyak 32,803 orang manakala penjawat awam pelbagai
gred yang membuat pembayaran sekali-sekala (tidak konsisten) adalah
sebanyak 130,204 orang.
Dalam pada itu, Mohamad Zabidi berkata JPA juga sedia memainkan peranan untuk menjadi pemudah cara antara peminjam dan PTPTN.
Mengenai perjumpaan warga JPA dan sesi taklimat PTPTN, beliau berkata
ia adalah satu platform interaksi antara warga JPA dengan pihak PTPTN
mengenai kaedah terbaik untuk mengatur pelan pembayaran pinjaman sesuai
dan mengikut kemampuan masing-masing.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN
Mastura Mohd Khalid berkata kini terdapat dua juta peminjam di seluruh
negara dan 280,000 daripadanya merupakan penjawat awam.
Beliau berkata peminjam tidak kira di sektor awam atau swasta wajar
mengambil langkah proaktif untuk menghubungi PTPTN berhubung pembayaran
balik pinjaman.
“Kalau ada masalah, mereka harus datang berjumpa, berbincang dan
berunding dengan pihak kami agar akaun anda berada dalam keadaan baik,”
katanya. – BERNAMA