Kerajaan Perlis Tarik Hak Milik Tanah Jika Pemilik Tanam Pokok Ketum


KANGAR – Kerajaan Perlis mensyaratkan pemberian hak milik tanah atau geran akan ditarik balik sekiranya pemilik menanam pokok ketum, kata Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Menurut beliau syarat baharu itu diluluskan baru-baru ini dan dikuatkuasakan serta-merta sebagai langkah tegas untuk membendung kegiatan menanam pokok ketum.

Bercakap kepada pemberita selepas jamuan Aidilfitri Kerajaan Negeri di Dewan 2020 di sini hari ini, beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius penagihan air ketum dalam kalangan golongan muda dan pelajar sekolah.

Azlan berkata, kerajaan negeri menerima kira-kira 5,000 permohonan daripada rakyat Perlis untuk mendapat hak milik tanah kerajaan yang mereka usahakan pada masa ini.

Katanya, mulai sekarang setiap permohonan untuk mendapatkan geran akan disiasat dan dipastikan terlebih dahulu tiada pokok ketum ditanam di tanah yang diusahakan itu. – BERNAMA