SETELAH berpuasa dan berusaha mencari keredaan-Nya di sepanjang bulan Ramadan, maka meraikan Hari Raya Aidilfitri cukup penting kerana ia simbol kepada tanda kegembiraan selepas berjaya mengharungi perjuangan tersebut.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (hari terakhir Ramadan 30 hari) dan kamu mengagungkan Allah (bertakbir raya) atas petunjuk-Nya yang dianugerahkan kepada kamu agar kamu menjadi orang-orang yang bersyukur. (al-Baqarah: 185)
Mungkin ini menjadi lebih getir bagi kalangan mualaf atau saudara baharu Islam. Lebih-lebih lagi, mualaf yang masih baharu atau mereka yang memeluk Islam seorang diri.
Mereka ini boleh dianggap sebatang kara. Walaupun mereka menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid atau surau, tetapi keinginan untuk meraikan hari kemenangan itu bersama ahli keluarga atau kawan adalah sesuatu yang sukar kerana berlainan agama atau dipinggirkan.
Kegetiran itu diakui oleh Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Prof. Dr. Taufik Yap Yun Hin ketika ditemui di pejabatnya di Serdang, baru-baru ini.
Pelbagai usaha dilakukan oleh Macma yang mempunyai cawangan seluruh negara bagi memastikan golongan saudara baharu berkenaan tidak merasa terpinggir.
“Kami memberi perhatian yang lebih kepada kalangan mualaf berkenaan supaya mereka dapat melaksanakan ibadah puasa dan meraikan Aidilfitri sepertimana yang digariskan oleh syariat.
“Bukan hanya mengadakan kelas pengajian agama tetapi kami turut menganjurkan majlis iftar dan sambutan Aidilfitri,” katanya.
Bagi memantapkan usaha tersebut, Macma menjalinkan kerjasama dengan majlis agama Islam negeri dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam.
Kerjasama sedemikian amat penting kerana Macma bukan hanya kekurangan tenaga sukarelawan tetapi dana bagi memastikan program anjurannya berjalan lancar serta berkesan.
Selain memperoleh sokongan daripada majlis agama Islam negeri, Macma turut mengadakan kerjasama dengan NGO Islam seperti Yayasan Yara dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan.
Usaha itu, kata Dr. Taufik Yap, bukan hanya kerana sesama kaum tetapi juga yang lebih penting adalah sesama saudara seagama.
“Antaranya, kami ada menerima sumbangan daripada Yayasan Yara dan bantuan itu kami agihkan kepada Macma negeri untuk diberikan kepada saudara baharu yang layak.
“Kami mahu mereka boleh berpuasa dengan selesa dan meraikan Aidilfitri dengan penuh bermakna walaupun dipinggirkan keluarga masing-masing,” katanya.
ROH ISLAM
Ternyata dalam menyambut Aidilfitri, Macma sering menganjurkan majlis sambutan perayaan berkenaan sebagai acara tahunan, sama ada di peringkat kebangsaan atau negeri.
Langkah sedemikian perlu supaya saudara baharu Islam itu mempunyai tempat yang bukan hanya untuk meraikan Aidilfitri tetapi peluang untuk mereka mengenali rakan-rakan seagama mereka yang lain.
Tidak hairanlah, majlis sambutan perayaan Aidilfitri anjuran Macma ada elemen-elemen sambutan Tahun Baru Cina.
“Walaupun majlis sambutan itu ada pengaruh kecinaan, namun roh Islam dalam menyambut Aidilfitri tetap menjadi keutamaan kami.
“Ini seperti tidak ada percampuran lelaki dengan perempuan yang bukan muhrim, menu jamuan yang halal, majlis dimulakan dengan doa dan lain-lain lagi,” kata Dr. Taufik Yap.
Begitu pun, pengekalan budaya Cina itu turut membuktikan bahawa keinginan kaum Cina memeluk Islam bukan untuk ‘bertukar’ menjadi Melayu tetapi kerana roh Islam itu sendiri.
Tanggapan itu mungkin lahir kerana budaya Melayu banyak dipengaruhi oleh Islam, di samping majoriti penduduk Melayu di negara ini adalah beragama Islam.
“Samalah kalau mualaf itu tinggal dalam kalangan masyarakat Melayu, tetap kami sarankan kepada mereka agar mengekalkan identiti mereka sebagai kaum Cina,” katanya.
Didik sambut raya sebenar
KEJAYAAN dakwah dirasai oleh seorang pendakwah apabila ilmu yang disebarkannya bukan hanya difahami tetapi dihayati oleh masyarakat umum.
Kejayaan sedemikian tidak hanya menjadikan roh Islam itu tertanam kukuh dalam diri seseorang tetapi skop dakwahnya tersebut melangkaui kawasan lain.
Walaupun kejayaan itu sebagai bekalan amal ketika di alam kubur tetapi sudah pasti yang lebih membanggakan apabila melihat roh Islam masih hidup subur atas muka bumi ini.
Bagi seorang pendakwah bebas, Mohd. Fadli Yusof yang menjalankan kerja-kerja dakwah di Persiangan, Sabah sejak 2011 menyatakan kesyukuran apabila dakwahnya mulai difahami dan dihayati oleh penduduk di kawasan itu.
Antara perkara yang membanggakan adalah sambutan perayaan Aidilfitri dilaksanakan oleh penduduk kawasan itu sebelum kedatangannya.
“Waktu permulaan berdakwah di sana, ada yang baharu Islam dan ada yang sudah lama dan salah satu perkara yang saya tanyakan kepada mereka ialah bagaimana mereka meraikan atau menyambut hari raya Aidilfitri?
“Saya agak terkejut apabila jawapan yang diberi ialah, kami beraya dengan cara berhimpun, makan-makan dan kemudian bermain sepak takraw,” katanya ketika ditemui di Perkim Kebangsaan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Memang nampak lucu tetapi jauh di sudut hatinya, akui Mohd. Fadli terselit perasaan sedih kerana mereka itu tidak dibimbing bagaimana seharusnya seorang yang mengakui diri Muslim merayakan Aidilfitri menurut Islam.
Malah, mereka mahu lihat sambutan Aidilfitri secara sebenarnya pun sukar kerana geografi kawasan tersebut yang terletak jauh di pedalaman. Walaupun ada siaran televisyen, namun mereka akan menonton program hiburan atau drama tertentu sahaja.
Belajar bayar zakat
Justeru, pada Mei 2013, apabila masjid Syuhada di kawasan itu siap dibina dan kebetulan pula Aidilfitri disambut pada bulan Ogos, jadi Mohd. Fadli telah mengambil kesempatan untuk menunjukkan cara betul sambutan hari raya yang sebenar menurut Islam.
Bagaimanapun, beliau akan pastikan usaha itu tidak akan dilihat sebagai menyusahkan mereka dan ini juga sejajar dengan prinsip Islam sebagai satu agama fitrah.
“Bagi memastikan usaha itu berbaloi, saya menjemput penduduk yang berada dalam lingkungan 100 kilometer dari masjid itu untuk bersolat sunat hari raya.
“Syukur alhamdulillah ramai yang datang dan pada masa sama, kita juga dapat sumbangan baju Melayu, jubah, songkok dan baju kurung yang banyak dan kami telah mengagihkannya kepada mereka untuk dipakai pada pagi hari raya,” katanya.
Mohd. Fadli memberitahu, ia bermula pada malam raya iaitu melaungkan takbir raya, qiamullail, zikir dan lain-lain ibadah sunat.
Selepas solat sunat Aidilfitri, beliau bersama ahli jawatankuasa (AJK) Masjid Syuhada mengadakan jamuan tetapi ia berlandaskan syariat iaitu daripada segi pergaulan lelaki perempuan dan menu jamuan yang halal, di samping mengadakan program ziarah.
“Untuk jamuan itu, saya menegaskan kepada mereka menu makanan yang memabukkan seperti tapai dan arak tidak dibenarkan dan mereka memahami.
“Saya bersyukur kerana apa yang diberitahu dan dibimbing, mereka menerimanya dengan hati terbuka serta memahami. Tambah menggembirakan saya, cara sambutan itu diraikan sehingga kini,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut memastikan setiap penduduk beragama Islam dapat menunaikan zakat fitrah sebelum menjelang Aidilfitri.
Menyedari lokasi kawasan penempatan mereka itu sangat jauh dari jabatan agama Islam negeri sehingga mereka jarang sangat hadir untuk mengutip atau melantik amil yang bertauliah. Namun ini bukan sesuatu yang perlu dijadikan alasan.
“Saya buat juga kerana ia melibatkan kewajipan bersempena bulan Ramadan dan akhirnya bermula 2012, kami telah melantik seorang amil daripada kalangan AJK masjid tersebut untuk melaksanakan tanggungjawab mengutip zakat fitrah.
“Beberapa hari sebelum hari raya, saya telah memberikan wang kepada setiap ketua keluarga dan meminta mereka membayar zakat fitrah kepada amil yang dilantik.
“Selepas selesai membayar zakat fitrah, amil yang bertugas itu akan mengembalikan wang itu kepada ketua keluarga berkenaan sebagai zakat dalam kategori asnaf mualaf tahun tersebut,” katanya.
Begitu pun, kata Mohd. Fadli, apa yang lebih penting adalah memastikan penduduk kawasan itu dan sekitarnya melaksanakan ibadah puasa dengan tekun.
“Pada 2011, tidak ramai yang berpuasa tetapi mulai Ramadan 2012 hingga 2014, ramai yang telah berjaya melaksanakan ibadah puasa penuh sebulan Ramadan, malah ada juga yang berjaya melakukan puasa enam,” katanya.
Berbeza agama bukan halangan raya bersama
Bagi golongan mualaf, menyambut perayaan Aidilfitri bukan aspek kemenangan daripada sudut ibadah semata-mata tetapi juga keinginan untuk meraikan bersama keluarga walaupun berlainan agama.
Keinginan itu bagaikan pelengkap kepada kemenangan selepas berjuang mencari keredaan-Nya sepanjang bulan Ramadan.
Tan Nasrullah Zhoung Abdullah, 23, dari Perak yang memeluk Islam sejak 2011, mengakui ketika mula-mula bergelar Muslim ada sedikit kejanggalan untuk meraikan Aidilfitri dengan keluarganya yang beragama Buddha.
Pada waktu itu, beliau hanya meraikan Aidilfitri bersama kawan dan guru sekolahnya serta saudara mualaf yang lain kerana bimbang rahsianya sebagai saudara baharu Islam terbongkar.
“Namun dalam hati, saya tetap menyimpan impian untuk menyambutnya dengan keluarga, khususnya ibu dan ayah walaupun kami berlainan kepercayaan agama.
“Perasaan itu menjadi bertambah kuat pada tahun berikutnya apabila saya memberitahu mereka yang saya telah memeluk agama Islam,” cerita pelajar Universiti Sains Islam Selangor (KUIS) ketika ditemui di kampus KUIS, baru-baru ini.
Atas keinginan itulah, pada Aidilfitri tahun lalu, Nasrullah berazam menyambut perayaan itu bersama keluarganya.
Untuk itu, dia telah meminta tolong keluarga seorang kawan Muslim untuk menyediakan masakan rendang ayam sebagai menu hari raya.
Pada pagi hari raya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri, anak muda yang berjiwa waja itu telah menghidangkan juadah itu dan meminta ibu bapa dan ahli keluarga yang lain menunggunya sehingga dia pulang daripada solat itu.
“Awalnya mereka bersetuju dan saya amat gembira walaupun saya sedar kami berlainan agama tetapi mungkin solat sunat itu mengambil masa yang agak lama dan mereka rasa lapar, hidangan tersebut telah habis sebaik sahaja saya tiba di rumah.
“Saya tidak kecewa, malah gembira kerana dapat meraikan Aidilfitri bersama ibu bapa dan ahli keluarga yang lain dan mungkin tahun ini, saya akan buat yang lebih baik lagi,” katanya.
Seorang lagi mualaf, Nur Aisyah Usha Abdullah, 39, dan berasal dari Selangor turut mengimpikan keraian bersama keluarga pada hari lebaran walaupun mereka berlainan agama.
Nur Aisyah yang memeluk Islam pada hujung 2009 itu meluahkan keinginan tersebut setelah terpisah dengan ibu bapanya sejak 36 tahun lalu.
“Saya tidak pernah berdendam dengan ibu bapa saya kerana percaya perpisahan itu ada puncanya dan Islam sendiri menegah umatnya berkonflik dengan ibu bapa sendiri walaupun berlainan agama,” katanya.
Nur Aisyah Usha yang ditemui di KUIS, baru-baru ini memberitahu pertemuan pertama dengan ibu bapanya di Shah Alam pada awal 2012 berkata, pada permulaan agak kurang selesa untuk meraikan hari kebesaran Islam itu bersama ibu bapanya.
Ini berkemungkinan kerana ia adalah detik pertama berjumpa setelah 36 tahun terpisah dan perasaan kasih sayang Nur Aisyah Usha masih menebal kepada mereka yang menjaga serta mendidiknya sejak dari kecil lagi.
“Saya tidak rasa suasana raya kerana lebih dikuasai perasaan sedih, apa lagi mereka masih belum Islam dan terpaksalah saya raikan Aidilfitri seorang-orang,” katanya.
Namun, dia mengakui bahawa ada rasa janggal apabila meraikan hari lebaran itu bersama-sama kawan-kawan dan tenaga pengajar di pusat pengajian dakwah Islam.
“Memang ada kawan-kawan yang bersungguh-sungguh mengajak saya beraya bersama keluarga mereka dan mereka melayan saya macam adik-beradik sendiri.
“Semangat ukhuwah itulah yang masih membuatkan saya gembira di hari lebaran dan juga menanamkan semangat untuk terus berdoa agar saya dapat meraikannya dengan ibu bapa,” katanya.
Sumber: Utusan