Persatuan Pemandu Bas Cadang Ops Selamat Diawalkan JPJ

Gambar Hiasan
ALOR SETAR – Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia (PPBSM) mencadangkan supaya Ops Selamat sempena musim perayaan tidak dibuat pada hari kemuncak ketika orang ramai pulang ke kampung.

Pengerusinya, Sa’adan Man berkata, perkara itu wajar dipertimbangkan pihak berkenaan bagi mengelak kesesakan jalan raya yang lebih teruk, terutama seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri.

“Pada 30 Jun lalu, pihak PPBSM dijemput menghadiri taklimat bersama Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Datuk Hassan Yaacob di Seberang Jaya.

“Pada taklimat itu, pihak JPJ Pulau Pinang bersetuju melakukan pemeriksaan bas ekspres dan bas ekspres tambahan mulai 3 Julai iaitu dua minggu lebih awal sebelum hari perayaan,” katanya.

Menurutnya, tindakan sama juga wajar dipraktikkan oleh semua JPJ Negeri supaya operasi berkenaan tidak dilakukan pada hari kemuncak yang boleh mengganggu pengguna jalan raya.

“Kita tiada halangan kalau pihak berkuasa nak buat pemeriksaan terhadap setiap bas ekspres dan pemandu bas, tetapi kita nak elak kesesakan jalan raya.

“Besar harapan kami sekiranya pihak berkenaan dapat melakukan pemeriksaan lebih awal dan tidak dilakukan di hadapan khalayak ramai, terutama pelancong,” katanya.

Sa’adan berkata, pemeriksaan pihak berkuasa secara terbuka di hadapan pelancong juga secara tidak langsung boleh menjejaskan imej pengangkutan awam di Malaysia.

“Sempena musim perayaan ini, saya menyarankan supaya semua memandu bas dengan cermat dan berhemah di jalan raya.

“Pastikan semua penumpang selamat tiba ke destinasi masing-masing,” katanya.

Pada taklimat itu, beberapa penerangan keselamatan turut diberikan termasuk penggunaan tayar yang baik, penjagaan enjin dan ujian air kencing pemandu bas.
 
Sumber: Sinar Harian