Pertubuhan Mahasiswa Dakwa Pekida "Barbaric" Tidak Bertamadun, Perlu Ditentang

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Pertubuhan mahasiswa menyifatkan ahli-ahli Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) sebagai golongan ‘Barbaric’ yang tidak bertamadun.

Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) dalam satu kenyataan berkata, ahli-ahli Pekida tidak boleh dibiarkan dan tindakan perlu dilakukan ke atas mereka kerana melakukan rusuhan di ibu negara.

“Pertubuhan-pertubuhan mahasiswa mengecam tindakan Pekida kerana telah menghasut dan mengakibatkan rusuhan di Kuala Lumpur pada 12 Julai 2015.

“Golongan ini mempunyai agenda tersendiri dan seolah-olah ‘Barbaric’ yang tidak bertamadun. Golongan ini tidak boleh dibiarkan dan harus menerima hukumannya,” tegas persatuan mahasiswa itu dalam satu kenyataan yang dipetik dari media, semalam.

Menurut PMUM, Pekida adalah ekstremis dalam negara yang memusuhkan kaum lain terutama kaum Cina maka perlu ditentang oleh seluruh rakyat.

Mahasiswa UM turut mendesak polis mengambil tindakantegas terhadap pertubuhan-pertubuhan yang terlibat dalam rusuhan tersebut.

Kelmarin, kira-kira 500 orang Melayu berkumpul di hadapan Plaza Low Yat bagi membalas dendam perbuatan peniaga di situ membelasah rakan mereka.

Kumpulan itu seterusnya bertindak ganas dengan merosakkan harta benda dan memukul beberapa individu di kawasan sekitar.

Setakat ini, polis telah menahan 19 individu yang dipercayai ada kaitan dengan perhimpunan itu. -Kedahnews.com