Pesan Mohd Najib Kepada Warga Siswa Siswi

ALOR SETAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berpesan kepada golongan mahasiswa supaya tidak mudah terpedaya tentang sesuatu yang diperoleh bersumberkan media sosial meskipun maklumat tersebut popular atau viral diperkatakan.

Kata beliau, meskipun popular di kalangan warga netizen, tidak semestinya laporan maklumat itu adalah benar dan tepat seperti yang disangka.

"Harap adik-adik pelajar semua yakinlah dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan. Jangan percaya atau telan bulat-bulat apa yang dibaca di media sosial, walaupun popular tidak semestinya ketepatan berita itu terjamin,

"Harap para pelajar semua dapat lakukan saringan dan menilai apa yang dilaporkan dengan pemikiran rasional," pesan Mohd Najib.

Mohd Najib berkata, beliau menyedari bahawa bukan mudah untuk menjadi Perdana Menteri dan beliau menggalas tanggungjawab berkenaan dengan penuh amanah serta terbuka untuk menerima kritikan selagi membina yang dilihat mampu membantu beliau.

Jelas beliau, kritikan itu perlulah bersifat membina dan berasas bagi membantu membangunkan negara dan memberikan kebaikan kepada semua pihak.

"Kata (kritik) tidak betul tapi tak bagi tahu apa yang betul. Pertikai, kata kerajaan tiada hasil, kalau tiada hasil manakan kerajaan dapat membina banyak universiti … bagaimana nak laksanakan pembangunan untuk negara," katanya lagi.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama penuntut universiti awam, institusi pengajian tinggi swasta dan institut pendidikan guru di Putrajaya, semalam.

Majlis yang berlangsung di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana itu dihadiri kira-kira 1,700 orang di mana para hadirin turut menunaikan solat Maghrib, solat Isyak dan solat sunat Tarawih bersama Mohd Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. -Kedahnews.com