PKR Umum Sokong "Gerakan Harapan Baru" Mat Sabu

Gerakan Harapan Baru (GHB)
KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan parti itu akan menjalin kerjasama dengan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang ditubuhkan oleh bekas-bekas pemimpin PAS yang disingkirkan ahli PAS pada pemilihan parti itu pada Jun lalu.

Pengumuman itu satu tamparan hebat kepada barisan kepimpinan baharu PAS yang bersungguh-sungguh mahu meneruskan kerjasama dengan PKR meskipun memutuskan kerjasama dengan DAP.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mendakwa, Ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta aktivis yang menyertai GHB mempunyai rekod teruji menentang kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Saya menyambut baik pengumuman dan pelancaran GHB. Gerakan yang diketuai oleh (bekas Timbalan Presiden PAS) Mohamad Sabu dan dipimpin oleh tokoh-tokoh yang telah lama menentang BN.

“Ini adalah satu perkembangan baik pada kala rakyat mencari-cari jawapan kepada pelbagai kemelut politik, ekonomi dan sosial yang melanda negara sekarang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR berkata, beliau mengenali rapat pemimpin GHB yang lebih dahulu menceburi bidang politik atas tiket parti pembangkang.

Justeru, tegasnya, beliau akan memberi sokongan dan kerjasama penuh kepada GHB serta menyertai jelajah yang dianjurkan oleh parti Islam baharu tersebut selepas Aidilfitri.

“Saya yakin pelancaran GHB ini akan merintis kepada satu muafakat baru,” katanya. -Kedahnews.com