ALOR SETAR - Nombor plat berkonsep patriotik, PATRIOT 1 yang dilelong secara terbuka menarik
perhatian ramai pihak apabila menjadi set nombor pendaftaran paling mahal di
Malaysia setakat ini selepas bidaan dibuka dengan harga pembukaan
RM1,000,000.
Bagaimanapun, timbul pula pelbagai spekulasi dari segelintir pihak yang mempertikai apabila lelongan nombor plat
bernilai tinggi itu dilaksanakan oleh sebuah badan NGO, Yayasan Patriot
Negara Malaysia (YPN) dan bukan kerajaan.
Isu berkenaan menjadi lebih kontroversi apabila sebuah portal media mula
mempersoalkan sama ada amalan kronisme terlibat dalam urusan berkenaan.
Pengerusi YPN, Brigadier Jeneral Dato’ Husainay Hashim yang ditemui media di ibu negara samalam, bagaimanapun menafikan sekeras-kerasanya spekulasi negatif berkenaan dan menjelaskan perkara sebenar.
Brigadier Jeneral Dato’ Husainay Hashim |
Jelas beliau, nombor pendaftaran PATRIOT yang diberikan kepada yayasan tersebut bukanlah diperoleh secara percuma sebagaimana yang disangka.
“Kami membuat permohonan untuk memiliki nombor pendaftaran itu
semenjak tahun 2013 lagi dan baru diluluskan atas nama yayasan dan bukan
nama syarikat.
“Yayasan turut membayar harga premium sejumlah RM1,000,000
kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mendapatkan nombor
istimewa itu. Jadi jangan ada tanggapan kami dapat percuma,” jelasnya yang dipetik dari sebuah portal, semalam.
Tambahnya lagi, asas pemberian nombor plat ini adalah selaras dengan
matlamat yayasan yang ingin memupuk semangat patriotisme dalam kalangan
rakyat Malaysia.
Antara nombor plat yang bakal jadi rebutan mereka yang berkemampuan dan kaya dengan sifat patriotik |
Difahamkan bahawa keuntungan dari penjualan nombor-nombor plat berkenaan akan disalurkan kepada dana YPN bagi membiayai perlaksanaan aktiviti-aktiviti dan pelbagai program yang telah
dirancang.
Selain itu, YPN akui turut mensasarkan keuntungan antara 10 juta hingga 15 juta daripada jualan nombor plat istimewa ini.
Bidaan tertinggi setakat ini ialah bagi nombor plat PATRIOT 1 yang
telah mencecah harga RM1,308,000 daripada pembida yang tidak ingin
dikenali di selatan tanah air.
Mengikut rekod, nombor plat paling mahal di Malaysia setakat ini
adalah WWW 1 milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail yang dibeli
pada harga RM520,000 pada 2012 serta W1N berharga RM748,000; juga milik
baginda.
Selain nombor plat PATRIOT, kerajaan pernah mengeluarkan 26 siri nombor khas antaranya SUKOM, PUTRAJAYA dan 1M4U.