Polis Kedah Cekup 2 Warga Thailand Cuba Seludup Keluar Ketum

Gambar Hiasan
JITRA - Modus operandi dua orang penyeludup warganegara Thailand telah berjaya digagalkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kedah apabila keduanya dilapor telah ditahan dalam dua kes yang berasingan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah menjelaskan bahawa dalam pasukan serbuan pihak berkuasa itu telah menemui bungkusan lutsinar yang mengandungi daun ketum, anggaran seberat 95 kilogram.

Operasi serbuan tersebut dilakukan di belakang sebuah rumah kosong di Kampung Tok Kasim, Bukit Kayu Hitam.

“Kita berjaya menahan suspek yang berasal dari Bannang Sata, Thailand itu ketika suspek sedang memasukkan sesuatu ke dalam van bernombor pendaftaran Thailand, sekitar jam 6.45 petang Sabtu,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Menurut beliau, pihak berkuasa kemudian mengarahkan suspek membuka bahagian bumbung van berkenaan dan mereka turut menjumpai bungkusan plastik lutsinar berisi daun ketum yang disusun dengan rapi pada bahagian bumbung dan di tepi bumbung.

“Siasatan awal mendapati suspek berusia 22 tahun dan bekerja sebagai buruh memperoleh daun ketum itu daripada seorang lelaki tidak dikenali di kawasan itu pada harga RM30/kg,” katanya lagi.

Abd Rahim berkata, ini merupakan kali kedua suspek membeli daun ketum untuk dibawa masuk ke Thailand.

Dalam kes kedua yang berasingan, Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam turut menahan seorang lelaki warganegara Thailand di Kilometer 1.3 Lebuhraya Utara Selatan Bukit Kayu Hitam.

Ketika ditahan, suspek sedang memandu sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Thailand sebelum ditahan kira-kira pada jam 1.15 pagi.

“Ketika pemeriksaan dibuat ke atas badan suspek, tidak menjumpai apa-apa bahan terlarang. Bagaimanapun, ketika memeriksa bahagian belakang kereta dan bawah pintu kiri dan kanan, anggota UPP menjumpai bungkusan plastik lutsinar berisi daun ketum seberat 15kg,” ujarnya.

Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu itu, siasatan awal pihak berkuasa mendapati suspek telah membeli daun ketum itu daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Pak Mid di Changloon pada harga RM25 untuk setiap kilogram.

Abd Rahim menjelaskan bahawa kedua-dua suspek yang ditahan kini direman sehingga Selasa depan bagi tujuan siasatan lanjut.

Turut difahamkan bahawa kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali. -Kedahnews.com