Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang |
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memohon Mahkamah Tinggi membatalkan saman difailkan empat individu berhubung pembentangan rang undang-undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 pada sidang Parlimen.
Abdul Hadi, menerusi affidavit sokongan berkata keempat-empat individu itu tidak mempunyai hak untuk menghalang cadangan, pembentangan dan perbahasan mengenai perkara berkenaan.
Beliau juga mendakwa saman pemula yang difailkan Mansoor Saat, Azira Aziz, Hasbeemaputra Abu Bakar dan Hazwany Jamaluddin itu juga tidak mempunyai merit dan sebagai anggota Dewan Rakyat, beliau mempunyai hak keistimewaan serta imuniti.
Abdul Hadi memfailkan permohonan itu pada 2 Julai lepas melalui Tetuan Wan Jawahir and Takiyuddin.
Mansoor dan lain-lain memfailkan saman pemula berkenaan pada 12 Jun lepas dengan menamakan Abdul Hadi, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat iaitu Datuk Ismail Mohamed Said dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee serta setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah sebagai defendan pertama hingga kelima.
Keempat-empat individu itu juga memohon satu deklarasi bahawa pembentangan mengenai pindaan itu merupakan satu kemungkiran terma-terma Buku Jingga Pakatan Rakyat oleh Abdul Hadi.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, yang mewakili empat defendan iaitu Pandikar, Ismail, Ronald dan Roosme, memberitahu pemberita bahawa permohonan itu didengar di dalam kamar Hakim Datuk Asmabi Mohamad pada Isnin untuk pengurusan kes.
Katanya, Asmabi menetapkan 28 September untuk pendengaran permohonan Abdul Hadi.