Putera Arab Saudi, Alwaleed bin Talal |
RIYADH – Putera Arab Saudi, Alwaleed
bin Talal berikrar mendermakan kesemua harta kekayaannya bernilai AS$32
bilion (RM120 bilion) kepada projek-projek amal sepanjang tahun-tahun
akan datang mulai 1 Julai.
Dalam satu kenyataan, putera itu berkata bahawa
“ikrar dermawan itu akan membantu membina ‘jambatan’ untuk memupuk
persefahaman budaya, membangunkan masyarakat, memperkasa wanita dan
belia.
Sumbangan tersebut juga bakal menyediakan bantuan
bencana di luar jangka dan mewujudkan sebuah dunia dengan persekitaran
yang saling bertolak ansur, tetapi menegaskan tiada had masa untuk derma
itu dibelanjakan.
Bagaimanapun demi memastikan kelancaran proses,
semua derma tersebut “akan diperuntukkan menurut pelan yang dirancang
dengan begitu baik, sepanjang tahun-tahun akan datang,” kata putera
berusia 60 tahun itu.
Putera Alwaleed berkata, beliau akan mengetuai
sebuah lembaga pemegang amanah yang ditugaskan untuk membelanjakan dana
berkenaan sehingga kesemuanya hartanya itu habis licin didermakan.
Beliau malah menambah, ikrar tersebut masih lagi
sah boleh digunakan walaupun selepas dirinya meninggal dunia “untuk
projek-projek kemanusiaan dan pelbagai inisiatif sosial” pada ketika
itu.
Hartawan berasal dari kerabat diraja Arab Saudi
itu sebenarnya merupakan anak saudara kepada almarhum Raja Abdullah ibn
Al-Saud, yang mangkat pada 23 Januari lalu dalam usia 90 tahun.
Dalam kerajaan konservatif Islam, Putera Alwaleed,
yang tidak menyandang sebarang jawatan atau kedudukan kerajaan, ia
adalah sesuatu agak luar biasa untuk beliau mengeluarkan komen berkala
mengenai isu-isu ekonomi.
Dalam satu sidang akhbar di sini pada Rabu, beliau
berkata ikrar dermanya itu mengambil contoh dilakukan Yayasan Bill dan
Melinda Gates di Amerika Syarikat.
“Ini sangat berbeza daripada hak milik saya dalam
firma Kingdom Holding, dan ia tidak ada kesan ke atas harga saham
syarikat disenarai awam itu,” jelas Putera Alwaleed.
Selain pelaburan media, Kingdom Holding juga
mempunyai kepentingan strategik yang terdiri daripada taman tema Euro
Disney, Four Seasons Hotel dan Citigroup.
Beliau ketika ini sedang membina sebuah menara di
Jeddah dengan ketinggian satu kilometer lebih tinggi berbanding bangunan
tertinggi di dunia sekarang, Burj Khalifa di Dubai, Emiriah Arab
Bersatu.
Awal tahun ini, Putera Alwaleed pernah membuka
stesen saluran berita pan-Arab di Bahrain, tetapi pihak berkuasa di
negara Teluk Parsi itu bertindak menutup stesen tersebut selepas kurang
24 jam ke udara.
Pada minggu lalu, beliau menandatangani satu surat
pernyataan niat dengan CDC International Capital di Paris, Perancis
untuk mewujudkan dana pelaburan Arab-Perancis yang pertama bernilai
AS$400 juta (RM1.5 bilion).
Putera Alwaleed dengan rendah diri berkata, beliau
setakat ini sudah menderma sebanyak AS$3.5 billion (RM13.2 bilion)
sepanjang lebih 35 tahun melalui Alwaleed Philanthropies.
Badan amal itu telah mengagihkan rumah dan
menyediakan elektrik kepada masyarakat terpencil di Arab Saudi, di
samping menyokong projek-projek kebajikan lain di seluruh dunia.
Beliau mengumumkan ikrarnya sekarang, selepas
persiapan selama dua tahun, sebagai cara untuk menginstitusikan proses
“supaya mereka boleh meneruskan selepas pemergian saya kelak.”
Putera Alwaleed berkata, dua anakandanya, Putera
Khaled dan Puteri Reem akan menjadi presiden dan naib presiden badan
amal tersebut setelah dia meninggal dunia nanti.
“Saya percaya bahawa seseorang itu perlu mengambil
keputusan yang dramatik dan drastik ketika usia tua sebegini,” kata
Alwaleed sambil memberitahu keadaan dirinya masih dalam keadaan yang
baik.
“Saya amat sihat waima untuk berbasikal
selama tiga jam setiap hari. Saya memberi jaminan kesihatan saya juga
adalah baik,” katanya. - Agensi