Rafizi Dakwa Dia Mungkin Ditahan Polis Dalam Masa Terdekat


ALOR SETAR – Pakar propaganda parti politik pembangkang, Rafizi Ramli tiba-tiba terasa "panas" apabila mendakwa beliau dan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkemungkinan besar akan ditahan pihak polis dalam tempoh terdekat.

Rafizi yang juga merupakan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, ia berikutan video pendedahan bekas pengarang Sarawak Tribune, Lester Melanyi mengenai isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Saya baru dimaklumkan Tony Pua telah dihalang dari meninggalkan negara atas penglibatan beliau mendedahkan kes 1MDB. Ekoran itu, saya telah menyemak status saya di laman web Jabatan Imigresen dan mendapati status senarai hitam saya adalah sama seperti status Tony Pua.

“Oleh yang demikian, saya mengesyaki saya juga telah disenarai hitamkan dan tidak dibenarkan keluar dari Malaysia. Saya juga mengesyaki bahawa saya dan Tony Pua akan dipanggil oleh pihak polis dalam masa terdekat dan berkemungkinan akan ditahan,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tony Pua tidak dibenarkan meninggalkan negara ini selepas ditahan pegawai Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Beliau dilaporkan media ditahan ketika mahu menaiki kapal terbang ke Indonesia.

Melanyi dalam videonya mendedahkan pembabitan beberapa ahli politik pembangkang yang didakwa memalsukan kandungan laporan Sarawak Report mengenai 1MDB.

Bagaimanapun, Melanyi dikatakan langsung tidak menyebut nama Rafizi mahupun Tony dalam pendedahannya yang membuat segelintir pihak makin "resah gelisah".

Melanyi mendedahkan hampir 90 peratus kandungan laporan Sarawak Report mengenai syarikat pelaburan negara 1MDB itu didakwa diubah suai oleh pembangkang untuk memburukkan kerajaan dan menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam video itu, Melanyi turut menamakan seorang pakar pereka laman web berpangkalan di London yang didakwanya diupah Rewcastle-Brown bagi mengubah dan mereka e-mel serta perjanjian palsu sehingga kelihatan tulen.

Rafizi dalam pada itu mendakwa video itu merupakan tuduhan jahat ke atas dirinya kerana kelantangan membawa isu 1MDB selama ini. -Kedahnews.com