Mat Rashid (kiri) menunjukkan dua laporan polis yang dibuat mengenai tindakan seorang ahli kumpulan ekstremis agama yang sengaja mencetuskan provokasi. |
SUNGAI PETANI – Seorang peniaga di sini menggesa agar tindakan dilakukan terhadap golongan ekstremis agama yang dilihat sengaja cuba mencetuskan provokasi.
Peniaga, Mat Rashid Din, 55, yang juga bekas tentera mendakwa, seorang rakan lama merupakan pengikut kumpulan tertentu ditemui baru-baru ini menyebarkan fahaman dilihat mampu memesongkan agama.
Dakwanya, rakan itu sudah lama tidak berjumpa secara kebetulan terserempak di sebuah pasar dan membolehkan mereka bertukar-tukar maklumat peribadi.
“Bagaimanapun, selepas pertemuan itu, dia ada menceritakan kepada saya mengenai fahaman terbabit dan kadangkala menimbulkan keraguan dalam perbezaan pendapat.
“Bukan itu sahaja, dia juga seolah-olah bertindak agresif apabila mula menghantar mesej berbaur hasutan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menyentuh isu semasa selain mengaitkannya dengan pemimpin tempatan dan negara,” dakwanya.
Mat Rashid mendakwa, akibat tidak berpuas hati, dia telahpun membuat dua laporan polis berhubung kejadian dengan harapan ada tindakan dilakukan terhadap kumpulan berkenaan.
“Saya juga merujuk ke beberapa pihak berhubung perkara ini dan kini telahpun berada dalam pengetahuan pejabat agama,” katanya kepada Sinar Harian.
Mat Rashid mendakwa, ada di antara mesej yang dihantar bertujuan menyebarkan fitnah, mencemarkan agama dan mengajak ke arah ajaran dianuti yang boleh memesongkan akidah.
Menurutnya, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sungai Petani pada 17 Mac dan 17 Jun lalu apabila melihat tindakan ahli kumpulan terbabit yang semakin agresif.
"Antara kandungan mesej yang dihantar termasuk memuji pemimpin kumpulan berkenaan dan mempertikaikan pemimpin negara termasuk barisan menteri kabinet," katanya.
Mat Rashid berkata, dia bersedia memberikan maklumat atau bekerjasama kepada mana-mana pihak bagi membendung tindakan puak berkenaan yang dikatakan menyebarkan fahaman salah.
Katanya, segala maklumat mengenai mesej dan ajaran itu juga masih ada dalam simpanannya jika diperlukan untuk bukti dan tindakan.
“Saya bimbang dengan gerakan mereka ini yang sengaja mencetuskan provokasi sehingga menimbulkan kemarahan.
“Namun, saya berharap agar perkara ini dapat diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menanganinya,” katanya.
Sumber: Sinar Harian