KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi gesaannya kepada
rakyat Malaysia supaya bersatu dan dengan tegas menolak fahaman
ekstremis.
Perdana Menteri berkata terlalu banyak contoh apabila nama Islam
telah disalah guna untuk menjustifikasikan kezaliman yang dilakukan
termasuk kanak-kanak dibunuh, wanita dirogol dan sekolah musnah.
“Kita mesti menamatkan semua ini. Kekejaman ini memusnahkan nama baik
Islam, menjustifikasikan tindakan kejam mereka dengan berselindung di
bawah konsep jihad yang disalah guna.
“Kekejaman ini juga telah memusnahkan kehidupan ramai – kanak-kanak
yang tidak inginkan apa-apa tetapi kasih sayang dan perhatian daripada
ibu bapa mereka dan menerima pendidikan seperti kanak-kanak lain di
tempat lain di dunia, golongan dewasa yang tidak mengharapkan apa-apa
tetapi untuk mendapat rezeki untuk diri sendiri dan orang tersayang,”
kata Najib menerusi cacatan terbaru dalam blog beliau,
www.najibrazak.com.
Menurutnya beliau percaya jalan kesederhanaan ini tidak pernah
menjadi pilihan bagi mana-mana individu, sama ada dalam pertuturan dan
tingkah laku, tetapi satu keperluan untuk berjaya dalam hidup dan ramuan
yang kritikal untuk Malaysia menjadi negara moden dan progresif.
Najib berkata bahawa konsep kesederhanaan tidak wujud semata-mata
dalam domain sekular, malah, katanya, ia telahpun dijelaskan dalam
Al-Quran.
“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat
yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia
dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu,” katanya
dengan memetik Surah Al-Baqarah ayat 143.
Beliau menegaskan bahawa konsep kesederhanaan bukan eksklusif untuk
agama Islam sahaja apabila ia telahpun dinyatakan sebagai nilai sejagat
kepada semua agama utama di dunia.
“Dalam agama Kristian, Bible menyatakan, “let your moderation be
known unto all men” (maklumkan kesederhanaan anda kepada semua manusia)
dan dalam agama Buddha, penganutnya diajar supaya mengikut laluan
pertengahan, menjalani kehidupan secara sederhana dan mengamalkan
cir-ciri bukan keganasan.
“Dalam agama Yahudi pun, Taurat mengajar bahawa kesederhanaan dalam
semua perkara adalah satu ‘cara hidup’ dalam erti sebenar adat Yahudi,”
tambah Najib.
Kerana keganasan dibalas keganasan, Najib menegaskan bahawa pujukan,
perundingan dan kerjasama adalah satu-satunya senjata untuk memerangi
fahaman ekstremis.
“Sikap mendiamkan diri boleh bermakna memberi persetujuan. Beban
terletak pada kita untuk memastikan bahawa suara kewajaran adalah lebih
lantang daripada biasa, dengan membawa konsep kesederhanaan di
mana-mana. Kita tidak boleh menjadi golongan majoriti senyap.
“Sebagai sebuah negara, kita telah menyaksikan satu sejarah
kesederhanaan yang besar dan lama dalam tadbir urus kami; kita
memperoleh kemerdekaan tanpa peperangan; kita menjalin semula hubungan
dengan Indonesia secara aman; kita pulih dari banyak peristiwa tragis,”
katanya, sambil menambah bahawa setiap satu membawa detik penting bagi
Malaysia, dan semuanya dicapai melalui perbincangan dan rundingan.
Najib berkata rakyat Malaysia tidak harus mengamalkan atau
membenarkan fahaman ekstremis bertapak sama ada dalam pertuturan dan
tingkah laku, dan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia tidak akan
membenarkannya.
“Sebagai rakyat Malaysia dalam masyarakat berbilang agama, kita hidup
sebagai satu bangsa. Kita harus menolak fahaman ekstremis dan marilah
kita bersatu padu dan memperjuangkan keamanan dan kesederhanaan sebagai
cara hidup, cara hidup bangsa Malaysia,” katanya.- BERNAMA