Rakyat Sabah Kekal Dalam Malaysia, Tiada Terpisah


TAWAU – Sabah akan terus kekal di bawah naungan Malaysia dan tiada isu ingin berpisah daripada negara ini, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

“Tidak timbul isu ingin berpisah dari Malaysia sebaliknya rasa bersyukur dan berterima kasih perlu dizahirkan kerana terus berada dalam lindungan negara yang aman dan sentosa serta makmur.

“Kita dalam Malaysia sangat bertuah kerana boleh bekerjasama serta mendapat kerjasama daripada kerajaan pusat dalam usaha membangunkan negeri ini selari dengan negeri lain di negara ini,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri UMNO Zon 6 di Dewan Masyarakat Tawau di sini hari ini.

Mengulas mengenai majlis itu, Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata, sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran masyarakat pelbagai kaum menunjukkan kesepakatan dan perpaduan sentiasa utuh di negara ini.

Lebih 5,000 masyarakat berbilang kaum termasuk anggota UMNO hadir pada majlis bermula 10 pagi hingga 2 petang itu. – BERNAMA