TERDAPAT dua perkara penting yang berkait rapat dengan bulan Ramadan iaitu Lailatulqadar (malam al-qadar atau malam kemuliaan) dan sepotong hadis yang mengatakan bahawa “setelah berpuasa sebulan Ramadan diikuti pula dengan puasa enam, iaitu berpuasa enam hari daripada bulan Syawal, maka seolah-olah kita telah berpuasa sepanjang tahun”.
Di sepuluh malam terakhir bulan Ramadan terdapat malam tujuh likur (malam ke-27 dalam bulan Ramadan). Mulai malam tersebut orang Melayu memasang pelita atau lampu hiasan di sekeliling rumah.
Untuk makluman, likur ialah nombor Melayu dari 21 hingga 29: 21 (selikur/ esa likur), 22 (dua likur), 23 (tiga likur), 24 (empat likur), 25 (lima likur), 26 (enam likur), 27 (tujuh likur), 28 (dua lapan likur/ dulapan likur/ delapan likur/ lapan likur) dan 29 (sembilan likur).
Likur boleh disingkatkan dengan huruf Jawi ‘lam’ dan ‘qaf’ yang juga merupakan singkatan untuk Lailatulqadar (malam al-Qadar) yang jatuh pada 10 malam yang terakhir di bulan Ramadan, iaitu malam ke-21, 22, ..., 30. Ada pendapat yang mengatakan bahawa Lailatulqadar jatuh pada malam yang ganjil iaitu malam ke-21, 23, 25, 27 atau 29.
Daripada surah al-Qadar (surah ke-97, ayat 1-3): “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadar. Dan apakah kamu mengetahui apa itu malam al-Qadar? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan”.
Allah SWT telah memberi keistimewaan kepada umat Nabi Muhammad SAW satu malam yang ganjaran kebaikannya melebihi ibadah yang dilakukan selama lebih daripada 83 tahun.
Ganjaran seterusnya yang Allah SWT beri kepada umat Nabi Muhammad SAW ialah seperti berikut:
(i) Puasa sebulan di bulan Ramadan;
(ii) Puasa enam hari daripada bulan Syawal; dan
(iii) Seolah-olah anda telah berpuasa sepanjang tahun tersebut
Bayangkan betapa hebatnya ganjaran yang Allah SWT berikan kepada kita yang mengamalkan perkara di atas itu. Setelah selesai berpuasa sebulan di bulan Ramadan, dengan menambah enam hari sahaja lagi berpuasa dalam bulan Syawal, Allah SWT memberi kita ganjaran tambahan 11 bulan lagi untuk melengkapkan ganjaran berpuasa di sepanjang tahun itu. Bayangkanlah betapa sayangnya Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW.
Syarat (i) dan (ii) adalah syarat yang saling melengkapi untuk mendapatkan ganjaran (iii). Maksudnya sekiranya kita hanya mengerjakan ibadah (i) sahaja, kita tidak akan dapat menikmati keputusan (iii) itu. Atau sebaliknya, sekiranya kita hanya mengerjakan ibadah (ii) sahaja (yang agak janggal, tidak berpuasa pada bulan Ramadan, akan tetapi mengamalkan puasa enam hari sahaja di bulan Syawal), maka sudah pasti kita tidak akan dapat menikmati keputusan (iii) tersebut.
Untuk boleh menikmati ganjaran (iii) itu kita hendaklah mula-mula (i) berpuasa di sepanjang bulan Ramadan dan setelah itu, (ii) berpuasa enam hari daripada bulan Syawal.
Seandainya ada yang tertinggal puasa di bulan Ramadan itu, misalnya disebabkan musafir, datang bulan atau menghadapi masalah kesihatan, maka hendaklah segera diganti dahulu puasa yang tertinggal itu di dalam bulan Syawal itu juga, dan teruskan dengan puasa enam. Masya-Allah, Allah SWT amat mengasihi dan menyayangi akan umat Nabi Muhammad SAW.
Ingatlah bahawa Allah SWT bukan sahaja menyediakan ganjaran-ganjaran tersebut pada tahun ini sahaja, malah ganjaran-ganjaran ini disediakan untuk umat Nabi Muhammad SAW pada tiap-tiap tahun sejak zaman Nabi Muhammad SAW dahulu lagi hinggalah ke akhir zaman.
Semoga pada bulan Ramadan dan Syawal tahun 1436 Hijrah ini kita akan berusaha dengan sedaya upaya di samping ganjaran-ganjaran lain, untuk mendapatkan kedua-dua ganjaran tersebut, iaitu berusaha untuk mendapatkan lailatulqadar (malam al-qadar atau malam kemuliaan) dan juga ganjaran berpuasa sepanjang tahun itu, Insya-Allah.
*PROF. DATUK DR. ABDUL RAZAK ialah Profesor Matematik di Pusat Pengajian Sains Matematik, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia dan juga Setiausaha, Kluster Sains dan Matematik, Majlis Profesor Negara./Utusan