ALOR SETAR - Ketua pasukan skuad bola sepak negeri Pahang, Razman Roslan diumum terpilih sebagai kapten skuad Pilihan Malaysia untuk bertemu kelab gergasi Inggeris, Liverpool, di Stadium Nasional Bukit Jalil yang dijadual pada Jumaat ini.
Pengumuman tersebut dilakukan sendiri oleh ketua jurulatih negara, Dollah Salleh, pada satu sidang media yang berlangsung di Hotel Saujana, di Subang, petang semalam.
Memetik dari Harian Metro, difahamkan bahawa Razman sebelum ini enggan melaporkan diri bagi menyertai skuad pimpinan Dollah.
Bagaimanapun, dia telah membuat pusingan 'U' dengan mengubah keputusan awalnya itu selepas dipujuk jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan.
Ketua Pasukan skuad Tok Gajah itu amat terkejut dengan pengumuman itu dan berjanji akan melaksanakan tugas berat yang diamanahkan dengan baik, biarpun menyedari bukan mudah untuk menundukkan Liverpool.
"Saya terima dengan hati terbuka dan akan cuba lakukan yang terbaik bersama pasukan pasukan.
"Tidak ada sebarang tekanan di atas lantikan itu cuma ada rasa tanggungjawab yang lebih kepada pasukan," katanya yang dalam sidang media semalam. -Kedahnews.com