Gambar Hiasan |
ALOR SETAR – Sebanyak 49 buah rumah di tiga kawasan perumahan sekitar
bandar raya ini rosak teruk selepas dilanda ribut dalam kejadian awal
pagi semalam.
Kejadian pukul 3 pagi itu mengakibatkan 179 menjadi mangsa,
melibatkan 22 rumah di Kampung Alor Mengkudu Dalam, 22 rumah di Taman
Budiman dan lima buah rumah di Taman Gunung Bongsu dalam daerah Kota
Setar.
Seorang mangsa, Che Som Abu Seman, 61, dari Kampung Alor Mengkudu
Dalam berkata ketika kejadian dia berada di ruang solat berhampiran
dapur semasa bersiap-sedia menunaikan solat sunat tahajud.
Katanya dia terdengar bunyi angin kuat yang mengangkat keseluruhan bumbung rumah pusaka lebih 60 tahun itu dalam sekelip mata.
“Masa tu saya dan anak perempuan ada dalam rumah. Masa kejadian mak
cik kaku dan hanya duduk atas tikar sembahyang sahaja sehingga anak
panggil untuk keluar bagi selamatkan diri,” kata Che Som ketika ditemui
di sini hari ini.
Ibu tunggal empat anak itu bersyukur kerana beliau dan anak
perempuannya terselamat, tetapi buntu memikirkan soal tempat tinggal
untuk cucunya yang akan pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama
lagi.
Che Som yang turut membuat kuih raya berkata kesemua kuih raya
tradisional yang dibuatnya sebelum ini selamat kerana telah dibungkus
dengan baik dan tidak rosak selepas terkena air hujan.
Seorang lagi mangsa, Siti Mariam Abd Rahman, 58, berkata mereka
sekeluarga tidak sempat bersahur awal pagi tadi selepas makanan
dilimpahi air hujan selepas bumbung rumah mereka di bahagian dapur rosak
teruk akibat ribut.
Dia berkata dua anak perempuannya berumur 25 dan 28 tahun yang tidur
dalam bilik atas rumah hampir terperangkap dan terkena serpihan bumbung
ketika kejadian itu berlaku.
Katanya mereka sekeluarga tidak akan berpindah dan tetap tinggal di
rumah itu walaupun dalam keadaan basah selepas hujan lebat turun
sehingga bumbung rumah mereka dibaiki semula.
“Kami harap pihak bertanggungjawab akan menyegerakan proses membaiki
bumbung rumah yang terjejas sebelum kedatangan Aidilfitri. Kami harap
dapat sambut Aidilfitri dengan sempurna,” katanya. – BERNAMA