Ringgit, Bursa Kukuh Susulan Laporan Positif Fitch

Gambar Hiasan: Bangunan Bursa Malaysia
ALOR SETAR - Langkah dan usaha kerajaan menambah baik perjalanan ekonomi serta pengurusan fiskal berhemah mula membuahkan hasil apabila pasaran saham Malaysia dan nilai mata wang ringgit dilaporkan didagangkan stabil.

Berita baik itu sekali gus menyakinkan pelabur selepas agensi penarafan antarabangsa Fitch mengesahkan unjuran mata wang asing jangka panjang negara kepada A- serta menyemak naik prospek kepada stabil daripada negatif.

Pada pukul 10.40 pagi tadi, bursa Malaysia berjaya mencatatkan lonjakan 28.66 mata kepada 1,735.40 manakala jumlah dagangan melibatkan transaksi 809.32 juta saham dengan mencatatkan nilai RM561.46 juta.

Sementara itu, kaunter untung berjaya mengatasi kaunter rugi dengan nisbah 547 kepada 121. Sejumlah 189 kaunter dilaporkan tidak berubah.

Berita positif oleh Fitch turut mempengaruhi kadar nilai ringgit apabila dibuka kukuh pada 3.7408 berbanding setiap dolar Amerika Syarikat dalam penutupan urus niaga lewat semalam.

Fitch mengesahkan Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) untuk mata wang asing jangka panjang Malaysia kepada ‘A-‘ dan IDR untuk mata wang tempatan kepada ‘A’.

Prospek bagi IDR jangka panjang disemak semula kepada stabil daripada negatif.

Agensi antarabangsa itu berkata penarafan isu bon mata wang Malaysia tanpa cagaran juga mengesahkan pada ‘A’.

“Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang tempatan Malaysia pada ‘A’, bon mata wang tempatan tanpa cagaran senior pada ‘A’, siling negara pada ‘A’ dan IDR Mata wang Asing Jangka Pendek juga mengesahkan pada ‘F2′,” ujarnya yang dipetik dari media.

Di Bursa Malaysia, KL Kepong meningkat 62 sen kepada RM22.02, MISC 32 sen kepada RM8.04, UMW naik 28 sen kepada RM10.42. -Kedahnews.com