Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersama Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abdul Nik Abdul Aziz |
KUALA LUMPUR - Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, seorang pakar kewangan Islam, adalah antara muka baharu dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dalam rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Anggota Dewan Negara berusia 39 tahun itu berkelulusan PhD dalam Perbankan Islam dan Kewangan dari Universiti Loughborough, United Kingdom dan pernah dinobatkan sebagai 'The Most Upcoming Personality in Islamic Finance' semasa Forum Ekonomi Islam Oman pada 2011.
Asyraf Wajdi banyak membantu membangunkan dasar Syariah dan kewangan Islam untuk Bank Negara Malaysia serta memberi khidmat nasihat berhubung bidang itu di Oman, Turki, Maldives, Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom, Korea Selatan dan Afrika Selatan.
Anak kelahiran Tumpat, Kelantan itu juga telah menerbitkan pelbagai jurnal akademik berujukan tempatan dan antarabangsa.
Salah satu artikel beliau yang bertajuk 'Banking for the Poor: The Role of Islamic Banking in Microfinance Initiatives' telah menerima 'The 2009 Outstanding Paper Award' daripada Emerald Literati Network, an International Referred Journal Article Publisher.
Ketika dihubungi Bernama, Asyraf Wajdi menyifatkan kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri kepadanya sebagai orang muda, bukan mudah digalas melainkan mendapat sokongan dan dokongan daripada semua pihak.
"Ia bukan mudah terutamanya dalam menghadapi cabaran pelbagai persepsi yang tercetus dalam kalangan masyarakat terhadap kerajaan hari ini.
"Sudah tentu saya perlu menzahirkan semangat untuk bekerja secara amanah, tulus dan berintegriti tinggi supaya kita dapat menarik kembali sokongan dan dokongan rakyat kepada kerajaan," katanya.
Beliau yang juga Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) berkata, hasratnya adalah untuk memastikan masyarakat Islam secara umum memahami aspek halal haram bukan hanya dalam konteks makanan tetapi dalam hal ehwal pengurusan kewangan.
"Hari ini bila kita cakap melalui pematuhan syariah hanya berlingkar dalam konteks kewangan dan perbankan yang telah pun ada peraturan dan undang-undangnya tetapi dalam konteks lain seperti skim cepat kaya, pemasaran 'multi-level' dan sebagainya...saya kira tidak ada lagi satu urus tadbir syariah yang melihat secara holistik," katanya
Anggota Majlis Tertinggi Umno itu optimis perkara itu dapat dilaksanakan secara kerjasama dengan Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab khusus terhadap industri kewangan dan perbankan Islam negara. - Bernama