Rozana Akui Guna Wang Simpanan Awie Beli Barangan Jenama Mewah

Rozana dan Awie
Krisis rumah tangga yang melanda penyanyi rock terkenal Awie dengan isteri, Rozana Misbun dilihat semakin meruncing.

Terbaharu, Rozana memberitahu kepada Mahkamah Majistret Ampang, Selangor bahawa dia menggunakan wang simpanan tonggak utama filem Sembilu itu untuk membeli barangan mewah termasuk beg, kasut dan barang kemas selain menjual semula barang tersebut untuk membayar balik wang Awie.

“Saya bersetuju akan membayar balik wang Awie dalam tempoh dua minggu selepas hari kejadian (kejadian pukul),” katanya.

Namun, Rozana akui tidak menyerahkan wang hasil jualan barangan mewah itu kepada Awie seperti yang dijanjikan.

Rentetan itu, Awie didakwa menyebabkan kecederaan parah kepada isterinya akibat perselisihan faham di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 1.30 tengah hari, 2 Jun tahun lepas.

Selepas kejadian itu, Rozana dipaksa oleh Awie untuk mengeluarkan kesemua wang milik suaminya yang ada di akaun simpannanya.

“Saya mengeluarkan keseluruhan wang simpanan yang masih ada dalam akaun Alliance Bank iaitu RM30,000 di bahagian kaunter,” katanya.

Menurut ibu kepada lima anak ini, dia telah menyimpan wang milik Awie di dalam akaun Alliance sejak beberapa tahun lalu atas alasan Awie diisytiharkan muflis.

Rozana bagaimanapun menafikan bahawa laporan polis itu dibuat kononnya untuk menutup cerita mengenai kegagalannya untuk membayar balik wang Awie.

Perbicaraan di hadapan Majistret Ayuni Izzati Sulaiman bersambung 6 Julai ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene.