PANTAI MERDEKA- Sepasang suami isteri yang mengusahakan kedai runcit mengalami kerugian apabila keseluruhan rumah termasuk kedai yang dibina berkembar dengan kediaman mereka musnah terbakar.
Norhayati Hashim, 44, dari Kampung Nipah, Kuala Muda berkata, ketika kejadian dia sedang menyiapkan makan malam tetapi ada pelanggan mahu membeli barangan keperluan di ruang depan menyebabkan dia meninggalkan dapur untuk seketika.
Menurutnya, selepas itu secara tiba-tiba dia ternampak asap dari dalam rumah.
"Terkejut dengan apa yang berlaku, saya cuba tarik paip air dan gunakan air dari rumah adik yang terletak bersebelahan bagi memadamkan api yang pada mulanya dilihat kecil, namun belum sempat bertindak, dalam sekelip mata sahaja api terus marak," katanya.
Norhayati berkata, gas memasak di dapurnya itu baru sahaja ditukar pada sebelah pagi dan kandungannya masih penuh dalam tong menyebabkan api merebak dengan cepat.
"Api yang pada mulanya kecil terus menyambar bahan api berdekatan termasuk bahan mudah terbakar seperti kotak yang mempunyai stok barangan di kedai.
”Akibatnya, keseluruhan barangan jualan turut musnah,” katanya.
Sementara itu suaminya, Azman Mansor, 42, berkata, ketika kejadian dia berada di dalam bilik air.
“Pada mulanya saya nampak asap kecil dan secara tiba-tiba terus merebak dengan cepat,” katanya.
Azman yang merupakan anggota Rela ditugaskan mengawal lalu lintas dan memantau jenayah di pasar malam dekat Kota Kuala Muda pada malam kejadian tidak turun bertugas kerana berhajat membantu jirannya yang merupakan ibu saudara membuat persiapan majlis kenduri.
Bagaimanapun, dia tidak menyangka ditimpa musibah besar akibat kejadian yang memusnahkan keseluruhan bahagian rumah dan kedai runcit miliknya yang diusahakan kira-kira 10 tahun lalu.
Norhayati berkata, dia dan keluarga menetap di rumah itu lebih kurang 20 tahun lalu dan kini menumpang di rumah adik buat sementara waktu.
Dalam perkembangan sama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Mohd Razmi Ab Rashid berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran sudah merebak hampir keseluruhan bahagian rumah dan rumah kedai.
“Punca dan kerugian sebenar masih dalam siasatan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian