Rumah Mampu Milik: Perda Kesal Kerajaan Guan Eng Enggan Beri Kerjasama

Pengerusi Perda, Datuk Shabudin Yahaya
BUTTERWORTH - Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang enggan memberi kerjasama dalam usaha menyediakan rumah mampu milik dan kos rendah kepada rakyat negeri ini. 

Pengerusi Perda, Datuk Shabudin Yahaya berkata Perda terbuka untuk membuat rundingan dengan kerajaan negeri yang masih enggan meluluskan cadangan pelan perancangan yang dipohon. 

Beliau berkata daripada empat pelan perancangan yang dipohon Perda untuk kelulusan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), satu pelan telah ditolak kerajaan negeri atas alasan tidak menepati syarat manakala tiga lagi masih belum mendapat jawapan. 

"Baru-baru ini, MPSP menolak pelan Perda di Pongsu Seribu, Kepala Batas kerana mendakwa projek itu telah melebihi nilai jualan RM250,000 yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Perda sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini pada Isnin. 

Beliau berkata pelan di Kepala Batas seluas 121 hektar dan hanya 15 peratus daripada rumah itu melebihi harga RM250,000 manakala selebihnya di bawah nilai yang ditetapkan kerajaan negeri.

"Kami terpaksa menetapkan 15 peratus rumah lebih RM250,000 untuk tujuan 'cross-subsidy' kerana kos pembinaan rumah mampu milik ialah lebih RM80,000 seunit tetapi harga jualan hanya RM40,000 selepas subsidi, jauh di bawah harga pasaran. 

"Tindakan kerajaan negeri bukan sahaja menyebabkan kami menghadapi kesukaran membangunkan perumahan mampu milik tetapi juga mengakibatkan rakyat negeri tidak mampu memiliki rumah," katanya. 

Shabudin berkata Perda sentiasa menyediakan perumahan mampu milik dan kos rendah bernilai antara RM42,000 dan RM300,000 yang memenuhi keperluan rakyat untuk memiliki rumah. 

"Kebanyakan harga rumah yang dijual Perda lebih murah berbanding pemaju swasta kerana harga itu di bawah pemantauan kerajaan persekutuan," katanya. 

Beliau berharap kerajaan negeri akan mendahulukan rakyat negeri ini dengan meluluskan pelan perancangan dan pembangunan supaya penduduk negeri mampu memiliki rumah. 

Selain pelan perancangan di Kepala Batas, Shabudin berkata Perda masihmenunggu maklum balas daripada kerajaan negeri berhubung tiga pelan perancangan di Ara Kuda, Tasek Gelugor.

"Kami telah menyerahkan ketiga-tiga pelan itu lebih setahun lepas namun sehingga kini belum menerima sebarang jawapan daripada kerajaan negeri,"katanya.

Sumber: mStar