Rumah PR1MA: 4 Sahabat Didakwa Tipu 22 Individu Termasuk "Datuk"

KUALA LUMPUR – Empat sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas 23 pertuduhan iaitu menipu 22 individu termasuk seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ berhubung pembelian rumah menerusi projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) membabitkan kerugian RM68,500.

Norazlin Mohamed Nordin, 36, Azlina Nurul Ain Ahmad Halmi, 34, Nur Irwani Mohamad Isro, 45, dan Afida Mustaffa, 53, didakwa menipu individu itu untuk mempercayai bahawa mereka akan mendapat rumah PR1MA dan mendorong kesemua mangsa menyerahkan wang itu di empat lokasi antara 21 September 2014 dan 16 November 2014.

Lokasi berkenaan ialah Hotel D’Palma, Restoran Kayu, sebuah pejabat di Jalan Ampang dan sebuah rumah di Taman Ampang Utama, Ampang di sini.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz menawarkan ikat jamin RM34,500 kepada setiap tertuduh namun peguam Nik Ahmed Asraf Nik Othman memohon jaminan rendah kerana setiap tertuduh tidak mampu untuk membayar wang jaminan itu.

Hakim Suraiya Mustafa Kamal membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan syarat setiap tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mereka juga perlu melaporkan diri ke Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya setiap bulan sehingga perbicaraan kes selesai.

Mahkamah menetapkan 10 Ogos untuk sebutan semula. – BERNAMA