Kumpulan Zero membawa ibu dan empat adik mereka berpindah ke Kuala Lumpur selepas kediaman mereka di Kampung Pantai Bahagia Kudat, Sabah hangus terbakar dalam kejadian pada 15 Jun lalu. |
Kumpulan Zero mengambil keputusan untuk membawa ahli keluarga mereka berpindah ke ibu negara selepas kediaman mereka di Kampung Pantai Bahagia Kudat, Sabah hangus terbakar pada 15 Jun lalu.
Salah seorang anggotanya, Sharif Kunal Doli Sharif atau Atu, 22, berkata, ibu dan empat adiknya berpindah masuk ke rumahnya di Kota Damansara dekat sini sejak seminggu lalu.
"Sebelum ini mereka terpaksa tinggal di tempat penempatan sementara yang disediakan kerana kerja-kerja pembaikkan hanya boleh dilakukan selepas Hari Raya.
"Biarpun ibu saya agak keberatan tetapi dia faham perpindahan itu hanyalah sementara dan selepas semuanya kembali seperti sedia kala mereka akan kembali ke Sabah," katanya kepada mStar Online.
Atu ditemui ketika hadir pada sidang media Anugerah Lawak Warna 2015 yang diadakan di Hotel Le Meridien di sini, Jumaat lalu.
Selain Atu, Zero turut dianggotai oleh dua abangnya iaitu Mohammad Syaiful Doli Sharif, 26 (Syaiful) dan Sharif Kadil Doli Sharif, 24 (Sharif).
Sebanyak 69 buah rumah hangus terbakar dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari, Selasa lalu.
|
Dalam pada itu, Atu berkata, ekoran kejadian itu, majlis resepsi perkahwinan abangnya, Syaiful pada Aidilfitri nanti terpaksa ditangguhkan dan hanya akan bernikah sahaja terlebih dahulu.
Katanya, biarpun sedih dengan nasib malang menimpa keluarga mereka dan penduduk kampung lain namun dia menganggap ia sebagai dugaan.
"Kami akan menyambut hari raya di Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum kembali ke Sabah untuk majlis pernikahan Syaiful di sana," ujarnya.
Bercakap mengenai perkembangan terbaharu mereka, Atu berkata, Zero baharu sahaja selesai menjalani penggambaran filem bertajuk Lu Mafia Gua Gangster yang dijangka ditayangkan pada tahun hadapan.
Selain itu, Zero juga bakal merancang untuk menjelajah ke enam zon dengan lebih 20 daerah di Sabah untuk bertemu peminat mereka pada awal tahun hadapan.
"Insya Allah jika segala-galanya berjalan lancar awal tahun hadapan kami akan buat persembahan jelajah untuk bertemu peminat di Sabah.
"Selain beramah mesra dengan peminat kami juga akan mengadakan persembahan lawak dan nyanyian," katanya.