Salam Aidilfitri Terakhir Dari Arwah Nor Zuwida.. Al-Fatihah

Gambar kenangan pasangan mangsa kemalangan jiwa Mohd Nazeri Abdul Razak,45, dan Nor Zuwida Ahmad Termizi,41, bersama anak keempat Muhammad Danial,13 bulan. Pasangan itu dan ibu Nor Zuwida, Zalehah@Zaleha Ibrahim,71, maut selepas Proton Wira mereka dirempuh treler di KM24, Jalan Teluk Intan-Chenderong Balai, manakala tiga anak mereka termasuk bayi itu yang cedera kini dirawat di Hospital Teluk Intan dan Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh. - Foto BERNAMA
TAPAH – “Tidak sangka ucapan raya yang kami terima menerusi telefon bimbit baru-baru ini, adalah yang terakhir daripada Allahyarham Norzuwida,” luahan seorang rakannya Muhd Azharuddin Che Azman, 41.

Norzuwida Ahmad Termizi, 41, suaminya Mohd Nazeri Abdul Razak, 45 dan ibu wanita itu Zalehah @ Zaleha Ibrahim, 71 maut selepas kereta yang mereka naiki dirempuh sebuah treler di Kilometer 24, Jalan Teluk Intan pada pukul 8.20 malam semalam.

Manakala tiga orang anak pasangan itu iaitu Muhammad Danial, 1, Muhammad Aiman Haziq, 8, dan Nuramira Shafika, 15, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pasangan suami isteri itu dari Petaling Jaya, Selangor meninggal dunia di tempat kejadian manakala Zaleha yang tinggal di Tapah meninggal dalam perjalanan ke Hospital Teluk Intan.

Muhd Azharuddin berkata sebelum menjelang Aidilfitri, Allahyarham menghantar ucapan selamat hari raya dan memohon maaf kepada ramai sahabat.

“Arwah menghantar ucapan raya kepada ramai sahabat menerusi WhatsApp peribadi dan kumpulan WhatsApp sekolah kami. Itulah kelakuan pelik arwah sebelum menghembuskan nafas terakhir,” katanya kepada pemberita selepas pengkebumian ketiga-tiga mangsa kemalangan itu di Tanah Perkuburan Islam Taman Setia di sini, hari ini.

Muhd Azharuddin berkata kali terakhir beliau berjumpa Allahyarham adalah pada perhimpunan semula rakan-rakan Sekolah Menengah Buyong Adil, Tapah di Rumah Rehat Tapah, 16 Mei lepas.

“Arwah pemalu dan baik orangnya…walaupun seorang yang pemalu dia sangat aktif dalam kumpulan WhatsApp sekolah kami. Arwah yang banyak mengendalikan majlis perhimpunan itu seperti menempah bilik dan menjemput kawan-kawan untuk menghadiri majlis tersebut,” katanya.

Sementara itu, sepupu Norzuwida, Siti Herlina Omar, 49, berkata sebelum kejadian berlaku mereka sempat beraya bersama di rumah seorang lagi sepupu mereka di Taman Selamat dekat Sitiawan.

“Kami konvoi dua kereta beraya di rumah sepupu. Pada pukul 6 petang semalam keluarga mereka (Norzuwida) pulang dahulu kerana ingin menuju ke destinasi lain.

Selepas Maghrib saya dan keluarga pula pulang ke rumah dan setibanya di Teluk Intan kami menerima panggilan bahawa mereka terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Suami Isteri Dan Ibu Maut Kereta Dirempuh Treler
Noramira Shahira, 17, merupakan anak sulung daripada empat beradik itu berkata beliau terkejut selepas diberitahu oleh penyelia asrama pada pukul 9 malam tadi, bahawa keluarganya terlibat dalam kemalangan.

“Saya sangat sedih selepas diberitahu ibu dan bapa serta opah (nenek) meninggal dunia dalam kemalangan,” katanya.

Shahira yang belajar di Kolej Vokasional Kuala Kangsar berkata kali terakhir beliau berjumpa ibu bapanya pada Hari Raya kelima dan mereka menghantar Shahira pulang ke asrama.

“Semalam adalah kali terakhir saya telefon mak. Dia tak ada pesan apa-apa dan tidak menunjukkan sebarang perangai pelik,” katanya. – BERNAMA