Manusia dan tikus hidup di tempat yang sama sejak berzaman di kota dan desa, dan kehadiran makhluk perosak ini jelas menunjukkan kurangnya kebersihan di persekitaran.
Sejarah membuktikan hubungan manusia-tikus ini sebagai satu yang tidak menyenangkan. Epidemik 'Black Death' yang mengorbankan 75 juta hingga 200 juta orang merentasi benua Eropah pada abad ke-13 sebahagian besarnya berpunca daripada kuman yang dibawa oleh makhluk perosak ini.
Sekarang ini pun, di Malaysia, dari semasa ke semasa berlaku kes kematian kerana jangkitan leptospirosis selepas mengambil makanan atau minuman yang dicemari kencing tikus.
Dan pastinya, ia makhluk yang menyusahkan manusia. Ia menggali lubang, bergerak merentasi paip pembetung, merosakkan apa sahaja yang boleh digigit dan merupakan vektor yang berkesan dalam menyebarkan penyakit.
Malangnya Kuala Lumpur dikatakan menjadi syurga tikus, mengapa tidak memandangkan sikap acuh tidak acuh penduduknya dan pemilik perniagaan di bandaraya ini yang secara tidak sengaja menjadikan premis mereka sebagai sarang tikus.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) nampaknya tidak terdaya dalam memerangi ancaman tikus ini dengan sendiri.
BANYAK CERUK TIKUS DI IBU NEGARA
Di Kuala Lumpur, pasar-pasar basah, premis makanan serta kejiranan kos rendah nampaknya telah muncul sebagai ceruk tikus. DBKL telahpun mengenalpasti lima pasar basah - Pasar Borong Selayang, Pasar Chow Kit, Pasar Pudu, Pasar Sentul dan Pasar Keramat - sebagai tapak pembiakan utama tikus.
Medan selera dan restoren yang tidak mengamalkan pelupusan sisa buangan juga memburukkan keadaan. Apabila terlihat tikus di premis menjual makanan, penulis teringat akan filem animasi Ratatouille di mana seekor tikus di sebuah restoren, yang menjadi sarang mereka, mula memasak untuk pelanggan.
Selain daripada pasar dan premis makanan, kejiranan yang kurang bersih juga dipersalahkan dengan DBKL pernah merekodkan 100 sarang tikus di sebuah kejiranan kotor di Cheras.
Sehingga 6,000 ekor tikus ditangkap dan dimusnahkan setiap bulan tetapi usaha DBKL untuk membasmi tikus ini nampaknya tidak berkesan. Kadar pembiakan pesat makhluk perosak ini selain sikap tidak mementingkan kebersihan oleh penduduk bandaraya menewaskan usaha DBKL.
Makanan berlebihan serta makanan yang disia-siakan semasa Ramadan juga menarik kedatangan tikus semasa bulan mulia ini. Terdapat laporan bahawa sebanyak 9,000 tan metrik makanan yang dibuang di seluruh negara dalam tempoh sehari pada bulan Ramadan sahaja.
Jadi tiada alasan bagi mana-mana tikus di negara ini untuk berlapar.
Pentadbir ibu negara serta penduduk yang mahu melihat ibu negara bebas daripada ancaman tikus hanya mampu berimpikan seorang penyelamat seperti dalam kisah mitos "Pied Piper of Hamelin" di German di mana seorang peniup seruling membawa gerombolan tikus ke sungai. Itu tidak lebih daripada mimpi.
KAEDAH TRADISIONAL MUSNAHKAN TIKUS
Walaupun tikus yang sentiasa kekenyangan itu boleh dimusnahkan dengan memasang perangkap tetapi ada juga kaedah tradisional yang pernah digunakan masyarakat.
Antaranya termasuk meletakkan kulit durian atau kapur barus di lokasi yang kerap dikunjungi tikus kerana bau kedua-dua bahan itu tidak disukai binatang berkenaan.
Di kawasan pertanian, banyak kaedah digunakan bagi mengusir tikus termasuk memelihara burung pungguk yang gemar memakan tikus.
Selain itu, ada pihak yang menganjurkan pertandingan memburu tikus bagi mengurangkan populasinya di kawasan sawah.
Tidak kurang menariknya ada yang menggunakan kaedah "kasih sayang" bagi mengusir tikus iaitu dengan menangkap makhluk perosak itu lalu menciumnya bertubi-tubi.
Selepas mencium, mereka akan merayu tikus itu keluar bersama koloninya dari situ dan jangan datang lagi mengganggu.
Walaupun seperti tidak masuk akal tetapi khabarnya tikus itu akan faham dan tidak akan bertandang lagi ke kawasan yang pernah menjadi jajahannya.
Namun siapakah yang sanggup mencium tikus demi sebuah perdamaian dengan makhluk perosak itu?
(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian Bernama dalam apa yang diperkatakan oleh penulis) - Bernama