KOTA SETAR - Seorang lelaki pemilik kad UNHCR didakwa mengaburi mata orang awam dengan berpura-pura sakit bagi meminta sedekah di Bazar Ramadan Stadium Darul Aman, di sini.
Lelaki dikenali sebagai Mohd Yusof, 28, dari Myanmar itu disyaki berpura-pura tidak berupaya berjalan bagi meraih simpati pengunjung bazar Ramadan berkenaan.
Menerusi pemerhatian kakitangan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah selama beberapa hari sekitar kawasan itu, Mohd Yusof difahamkan boleh berjalan seperti manusia normal.
Taktik digunakan lelaki yang menyalahgunakan kad UNHCR itu terbongkar sewaktu ditahan dalam serbuan berkenaan.
Dalam operasi sama, seorang lelaki warganegara Bangladesh memaklumkan dia memperoleh kira-kira RM 20 dalam tempoh beberapa jam mengutip sedekah di kawasan itu.
Turut ditahan, seorang lelaki berasal dari Sik mendakwa mewakili sebuah yayasan untuk mengutip derma didakwa bagi tujuan tertentu turut ditahan untuk siasatan lanjut.
Mereka antara enam peminta sedekah ditahan dalam operasi bersepadu membanteras aktiviti pengemisan di bulan Ramadan daerah Kota Setar 2015, baru-baru ini.
Difahamkan, tiga peminta sedekah warga asing diserahkan kepada Jabatan Imigresen Kedah, dua penduduk tempatan dihantar ke Rumah Seri Kenangan Bedong dan satu diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik).
Pengarah JKM Kedah, Md. Noor Chik berkata, bilangan peminta sedekah dikhuatiri meningkat pada bulan Ramadan dan menjelang Syawal ini, berbanding hari-hari biasa.
Menurutnya, mereka bimbang ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menjadikan aktiviti meminta sedekah sebagai cara mudah untuk mereka meraih wang.
“Dalam masa sama, kita sebenarnya ingin mendidik masyarakat supaya menderma pada tempat betul dan sah memandangkan aktiviti sebegini tidak lagi dilakukan akibat desakan hidup,” katanya.
Beliau berkata, aktiviti meminta sedekah dilakukan sebagai alternatif baharu ataupun cara mudah untuk hidup mewah oleh pihak-pihak tertentu seperti sindiket pengemisan.
Katanya, operasi bersepadu bersama lapan agensi berkenaan dilaksanakan demi membanteras aktiviti pengemisan di bawah Akta Orang-orang Papa 1977.
Sumber: Sinar Harian