KULAIJAYA – Naib Presiden MIC Datuk M.Saravanan hari ini memberi amaran keras kepada pemimpin di semua peringkat parti itu supaya tidak menghadiri sebarang majlis yang diatur bekas Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel atau penyokongnya.
Saravanan yang juga Pengasas Yayasan Gerakan Tindakan Afirmatif Baharu (NAAM) berkata beliau mendesak Majlis Tertinggi MIC mengambil tindakan disiplin terhadap mana-mana pemimpin yang berkeras menghadiri majlis yang diatur tersebut.
“Ini amaran terakhir saya kerana saya melihat Datuk Seri Palanivel cuba mengelirukan anggota MIC dan rakyat Malaysia. Dia bukan lagi anggota MIC.
“Mereka yang pegang jawatan dalam kerajaan juga jangan sesekali hadir ke mesyuarat atau perjumpaan itu,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita pada majlis menuai cili Projek Tanaman Cili NAAM di Kampung Sri Paya, Kelapa Sawit, di sini.
Mengenai kedudukan Palanivel di dalam kabinet, Saravanan sekali lagi menegaskan pihaknya buat masa ini tidak mahu mengganggu kedudukan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu memandangkan pelantikannya adalah kuasa mutlak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, pihaknya, bagaimanapun, akan meminta pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk menyatakan pendirian mengenai kedudukan Palanivel sekiranya Anggota Parlimen Cameron Highlands itu terus mengelirukan anggota MIC dan rakyat.
“Saya percaya BN akan mengikut pandangan Pendaftar Pertubuhan (RoS). Bila RoS sudah terima dan sahkan Palanivel bukan anggota MIC, saya percaya dia (Palanivel) harus diterima sebagai anggota bebas dan kedudukan di dalam Parlimen pun di kedudukan bebas,” katanya. – BERNAMA